CGS-CIMB unjur KLCI lebih tinggi, pilih Gamuda, Inari raih manfaat daripada pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur KLCI lebih tinggi, pilih Gamuda, Inari raih manfaat daripada pemulihan ekonomi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - CGS-CIMB menyemak semula unjuran akhir tahun indeks utama FBM KLCI berdasarkan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi dan juga prestasi hasil korporat suku kedua di sebalik cabaran pandemik COVID-19. 

 

Firma itu mengunjurkan pasaran akan berlegar pada 1,629 mata berbanding 1,604 mata sebelum ini apabila para pelabur mula beralih kepada saham-saham berkaitan pemulihan sejajar dengan pembukaan semula ekonomi menuju akhir tahun ini. 

 

"Kes jangkitan masih kekal tinggi dan sekatan pergerakan masih dilaksanakan lebih lama berbanding jangkaan kami. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pasaran akan memandang ke hadapan dengan tertumpu kepada saham-saham berentak pemulihan menjelang pembukaan semula ekonomi sekitar Oktober atau November," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, KLCI kini diniagakan 14.2x atau 2 s.d di bawah 3 tahun, yang menunjukkan ia mengambil kira risiko pendapatan ekoran langkah-langkah sekatan pergerakan.

 

Tinjauan firma itu mendapati nisbah syarikat di bawah liputannya yang merekodkan hasil melebihi jangkaan susut kepada 20% pada suku kedua 2021 berbanding 28% pada suku pertama manakala nisbah syarikat yang berprestasi rendah meningkat kepada 37% (berbanding 24% pada suku pertama). 

 

Keadaan ini disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada Jun telah menjejaskan pendapatan korporat di samping kenaikan 148% tahun ke tahun bagi hasil korporat syarikat didorong peningkatan harga minyak sawit mentah dan petrokimia. 

 

Selain itu, ia juga didorong oleh asas pendapatan yang rendah pada suku kedua 2020 disebabkan pelaksanaan PKP 1.0 dan juga untung bersih berkembang 5% suku ke suku dipacu oleh pemain sektor agropertanian, petrokimia, perkapalan dan teknologi. 

 

CGS-CIMB menjangkakan pendapatan korporat akan terus lemah pada suku ketiga dengan lebih banyak syarikat merekodkan hasil mengecewakan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Lembah Klang.

 

"Kami mengubah unjuran untung bersih KLCI bagi tahun kewangan 2021/2022 sebanyak 3.3%/2% dengan menjangkakan pertumbuhan 41%/0.9%. 

 

"Peningkatan hasil ini terutamanya disokong menerusi Petronas Chemical, IHH Healthcare Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd.

 

"Tidak termasuk konstituen sektor perbankan dalam KLCI, kami menganggarkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) untuk KLCI bagi tahun kewangan 2021/2022 kepada 49.8%/-4.9%," katanya. 

 

Firma tersebut menambah Gamuda Bhd. dan Inari Amerton Bhd. (bagi menggantikan Telekom Malaysia Bhd. dan Unisem Group), sebaliknya mengekalkan Public Bank Bhd. sebagai 3 pilihan utama. 

 

Ini kerana katanya, Gamuda dilihat akan muncul saham yang meraih manfaat daripada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawawan 2022.

 

Sementara itu, bagi Inari pula terdapat kemungkinan penarafan semula berikutan potensi penggabungan dan pengambilalihan (M&A), permintaan cip frekuensi radio yang kukuh dan perolehan kontrak baharu. 

 

"Pada masa sama, pilihan utama kami ketika ini termasuklah AMMB Holdings Bhd., DKSH Holdings (Malaysia) Bhd., EITA Resources Bhd., HSS Engineers Bhd., Hap Seng Plantations Holdings Bhd., MRDIY Group Bhd., MSM Holdings Bhd., Genting Plantations Bhd., Petronas Chemicals Bhd. dan Lotte Chemicals Titan Holding Bhd.

 

"Kami percaya pilihan terhadap saham-saham ini akan merekodkan hasil yang lebih baik pada suku akan datang apabila sekatan pergerakan dilonggarkan dan harga komoditi juga tinggi," katanya. - DagangNews.com