CGS-CIMB unjur pendapatan Bonia bagi 2HFY23 kekal stabil dipacu kekuatan jenama | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur pendapatan Bonia bagi 2HFY23 kekal stabil dipacu kekuatan jenama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan Bonia Corporation Berhad merekodkan momentum pendapatan kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) walaupun berdepan tekanan inflasi yang tinggi.

 

Firma itu berkata, ia didorong oleh ekuiti jenama syarikat yang kukuh, memandangkan pelancaran produk, kempen pemasaran yang berkesan dan pangkalan pelanggan setia yang semakin meningkat.

 

“Selain itu, jualan 2HFY23 boleh dipacu oleh jualan perayaan (Tahun Baharu Cina dan Hari Raya) dan pembesaran kedainya yang berterusan.

 

"Kumpulan itu merancang untuk membuka dua hingga tiga cawangan butik baharu (4% daripada jumlah butiknya) dengan reka bentuk yang menarik pada FY23.

 

"Kami juga menjangkakan margin keuntungan akan bertambah baik pada skala ekonomi yang lebih tinggi daripada penawaran produk yang lebih luas, campuran produk yang lebih baik daripada jualan produk margin yang lebih tinggi dan potensi kenaikan harga jualan purata," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 1HFY23 mencecah RM31.5 juta, melebihi jangkaan firma itu sebanyak 70% dan 78% daripada konsensus Bloomberg.

 

Pendapatan yang lebih baik pada 2QFY23 adalah disebabkan oleh jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan margin yang lebih tinggi daripada jangkaan, mungkin disebabkan oleh pelarasan harga yang berterusan daripada kenaikan harga jualan. 

 

Pendapatan kumpulan itu pada 2QFY23 meningkat 22.2% dari suku ke suku kepada RM112.1 juta hasil pengembangan kedai dan penempatan semulanya yang berterusan ke kawasan yang mempunyai kadar yang lebih tinggi, kenaikan harga, pelancaran produk baharu berkesan serta jualan bermusim.

 

"Pendapatan bagi 2Q itu adalah yang paling kukuh bagi tahun kewangan itu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM3.50 sesaham. - DagangNews.com