CGS International semak turun ramalan untung bersih ViTrox bagi FY24-FY26 sehingga 27% kesan jualan rendah | DagangNews Skip to main content

CGS International semak turun ramalan untung bersih ViTrox bagi FY24-FY26 sehingga 27% kesan jualan rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - CGS International menyemak turun untung bersih ViTrox Corporation Bhd bagi FY24 hingga FY26 antara 15% hingga 27% selepas mengambil kira jualan dan purata harga jualan (ASP) lebih rendah bagi segmen papan pemeriksaan automatik (ABI) dan sistem penglihatan mesin (MVS).

 

Firma penyelidikan berkata, kumpulan itu juga dijangka mencatat untung bersih yang mendatar bagi FY24 diikuti pertumbuhan sebanyak 36% pada FY25 dan 22% pada FY26.

 

Katanya, kumpulan itu meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengekalkan kedudukan selaku peneraju teknologinya dalam pemeriksaan penglihatan. 

 

Mereka juga merancang untuk memperkenalkan model pemeriksaan penglihatan yang menawarkan pelbagai plihan bagi mengekalkan bahagian pasarannya terhadap pemain baharu yang muncul.

 

"Kumpulan itu bagaimanapn menjangkakan peningkatan lagi dalam pesanan MVS, dipacu oleh perbelanjaan automasi dalam kalangan perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dan pengeluar peranti bersepadu (IDM), selaras dengan kitaran naik semikonduktor.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 2QFY24 ViTrox susut kepada RM28.1 juta kesan perbelanjaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan

 

"Bagaimanapun, keterlihatan pesanan daripada segmen ABI kebanyakannya memenuhi keperluan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) kekal lemah, memandangkan ketidakpastian berterusan perang dagangan semikonduktor antara  AMerika Syarikat (AS)-China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil bagi 2QFY24 kumpulan itu menyusut 8.2% kepada RM137.2 juta berbanding RM149.4 juta pada 2QFY23.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24) juga menyusut kepada RM45.3 juta berbanding RM70.6 juta pada tahun sebelumnya didorong penurunan hasil kepada RM256.8 juta berbanding RM282.7 juta bagi 6MFY23.

 

CGS International berkata, kumpulan itu dijangka berdepan beberapa cabaran termasuk kelembapan dalam industri semikonduktor, persaingan sengit daripada pemain baharu, dan perang cip AS-China yang semakin teruk yang boleh mengehadkan keterlihatan pesanannya.

 

"Kami menurunkan penarafan kumpulan kepada 'kurang' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.15 sesaham," katanya. - DagangNews.com