CGS International semak turun unjuran pendapatan sesaham FY24-FY26 Pentamaster sehingga 24% kesan jualan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

CGS International semak turun unjuran pendapatan sesaham FY24-FY26 Pentamaster sehingga 24% kesan jualan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - CGS International menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY24-FY26 Pentamaster Corp Bhd antara 17% hingga 24% kesan jualan lebih rendah untuk peralatan pengujian yang memenuhi keperluan syarikat semikonduktor automotif.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi pertumbuhan hasil daripada segmen perubatan yang lebih tinggi pada FY24-FY26.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan EPS bagi separuh kedua 2024 tidak begitu ketara tetapi buku pesanan tertunggak semasa kumpulan itu sebanyak RM400 juta (sehingga akhir suku kedua tahun ini) mengekalkan keterlihatan hasil kumpulan dengan kebanyakannya dalam segmen perubatan. 

 

"Kami percaya momentum hasil segmen perubatan yang kukuh pada separuh pertama 2024 boleh diteruskan ke separuh kedua kerana pelanggan segmen perubatan utamanya terus mengembangkan kapasiti berikutan kelulusan daripada Pentadbiran Makanan & Ubat-ubatan AS (US FDA) terhadap produk teknologi perbutanan baharu.

 

"Selain itu, Pentamaster berjaya memperoleh dua pelanggan teknologi perubatan baharu pada suku kedua,  mencerminkan keupayaannya untuk membuat kemasukan yang lebih kukuh ke dalam industri teknologi perubatan.

 

"Secara keseluruhan, kami mengunjurkan sumbangan pendapatan segmen perubatannya meningkat daripada 21% pada FY23, kepada 39% pada FY24F," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, CGS International berkata, rangka kerja keselamatan mandatori baharu yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada Julai 2024, mewajibkan penggabungan beberapa teknologi yang berkaitan dengan keselamatan termaju serta keselamatan siber ke dalam kenderaan baharu, boleh membawa kepada kandungan semikonduktor yang lebih tinggi dalam kenderaan.

 

Katanya, perkembangan itu boleh menjadi pelopor kepada peningkatan keterlihatan pesanan dan boleh memacu pemulihan dalam jumlah peralatan ujian kumpulan.

 

Bagaimanapun, kelemahan permintaan automotif jangka pendek mungkin berterusan disebabkan sentimen pengguna yang lemah dan tahap inventori yang tinggi.

 

"Kami mengunjurkan sumbangan hasil peralatan ujian automatik (ATE) Pentamaster susut daripada 64% pada FY23 kepada 43% pada FY24, sebelum pulih kepada 48% menjelang FY26," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.15 sesaham. - DagangNews.com