CGS Malaysia mulakan liputan ke atas CIMB dengan saranan ‘tambah’, TP RM8.60 sesaham | DagangNews Skip to main content

CGS Malaysia mulakan liputan ke atas CIMB dengan saranan ‘tambah’, TP RM8.60 sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - CGS International Securities Malaysia (CGS Malaysia) memulakan liputan ke atas CIMB Group Holdings dengan saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) sebanyak RM8.60 sesaham, kerana saham bank itu dianggap dinilai rendah oleh pelabur pada harga kepada pendapatan (P/E) tahun kalendar 2025 (2025) sebanyak 8.4 kali.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa P/E kumpulan perbankan itu berada jauh di bawah purata sejarah lima tahunnya sebanyak 12.4 kali serta lebih rendah daripada P/E sektor sebanyak 9.7 kali dan syarikat pesaing terdekatnya, iaitu Maybank (10.7 kali) dan Public Bank (10.3 kali). 

 

“CIMB adalah antara pilihan utama kami untuk bank Malaysia. Kami menjangkakan pelbagai pemangkin penarafan semula untuk saham, termasuk pertumbuhan kukuh keuntungan bersih sebanyak 10.1% pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

“Pemangkin penarafan semula juga datang daripada pengembangan pulangan atas ekuiti (ROE) daripada 10.7% pada FY23 kepada 11.1% pada FY24-25, serta peningkatan nisbah pembayaran dividen dan pertumbuhan pinjamannya yang melepasi sektor,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGS Malaysia turut berpandangan bahawa prospek pertumbuhan industri perbankan Indonesia lebih kukuh berbanding Malaysia, di mana kumpulan itu mempunyai anak syarikat yang dimilikinya 92.5%, CIMB Niaga, yang telah menyumbang 27% kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan pada FY23, sumbangan terbesar dalam kalangan bank-bank di Malaysia. 

 

Firma itu berkata pendedahan Indonesia yang kukuh memberi kelebihan tambahan kepada CIMB berbanding syarikat pesaing tempatannya, namun ia berdagang pada nilai lebih rendah daripada syarikat lain, seperti Maybank dan Public Bank. Oleh itu, ia percaya atribut positif berkenaan belum diambil kira.

 

“Kami meramalkan pertumbuhan keuntungan bersih CIMB kukuh sebanyak 10.1% pada FY24, yang akan disokong oleh unjuran pertumbuhan pendapatan 8% dengan kenaikan 10.4% pendapatan faedah bersih (NII) dan 3.1% pendapatan bukan faedah (NOII). 

 

“Dari segi kos, kami mengunjurkan peningkatan 5.2% dalam overhed dan 8.3% bagi peruntukan kerugian pinjaman (kos kredit),” tambahnya.

 

Pada pukul 12:21 petang ini, saham CIMB menokok 5 sen atau 0.8% kepada RM6.55 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM69.9 bilion. - DagangNews.com