Chevrolet panggil semula 3,725 kenderaan ganti inflator beg udara | DagangNews Skip to main content

Chevrolet panggil semula 3,725 kenderaan ganti inflator beg udara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Chevrolet memanggil semula 3,725 unit kenderaan Chevrolet dan SAAB di Malaysia bagi menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian pemandu. 

 

Model yang terlibat ialah: 

 

● Chevrolet Cruze: model tahun 2010–2015 

 

● Chevrolet Orlando: model tahun 2013–2015

 

● Chevrolet Sonic: model tahun 2013–2014 

 

● Chevrolet TRAX model tahun 2017 

 

● SAAB 9-3: model tahun 2007 

 

Chevrolet dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, inflator beg udara pemandu itu mengandungi tablet pendorong (propellent) Ammonium Nitrat Stabil Berfasa (Phased Stabilized Ammonium Nitrate atau PSAN) yang tidak kering, mungkin mengalami perubahan selepas terdedah kepada suhu tinggi dan kitaran suhu siang dalam persekitaran kelembapan tinggi. 

 

"Inflator mungkin pecah jika penjanaan gas melebihi keupayaan inflator untuk mengeluarkan gas tersebut. 

 

"Chevrolet sedang menjalankan kempen memanggil semula untuk menggantikan inflator beg udara ini. Kempen panggil semula ini dilaksanakan dengan kelulusan dan kerjasama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, memandangkan Chevrolet tidak berpengkalan di Malaysia, syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan dua syarikat tempatan untuk melaksanakan kempen panggilan semula itu. 

 

"Bagi urusan komunikasi, Saphan9 Engagement, firma perundingan komunikasi dan kandungan telah dilantik untuk mengendalikan hal-hal berkaitan yang mencakupi pengumuman rasmi, khidmat pelanggan, pengurusan aset digital, maklumat dan data pelanggan. 

 

"Manakala urusan kerja-kerja penggantian beg udara baharu pula akan dikendalikan oleh pengedar sah Honda Malaysia terpilih. Penggantian ini adalah PERCUMA dan akan bermula pada 1 Jun 2022," katanya.

 

Jelasnya, pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk melayari laman sesawang program memanggil semula Chevrolet di www.chevrolettakatarecallmy.com yang mana mereka akan dibimbing bagaimana untuk membuat tempahan slot penggantian, melalui tiga langkah mudah: 

 

1. Cari nombor VIN: Panduan untuk mengenalpasti nombor VIN kenderaan anda juga tersedia dalam laman sesawang tersebut. Nombor VIN adalah penting untuk mengesahkan status kenderaan yang terlibat. 

 

2. Panggilan untuk temujanji: Senarai pengedar sah Honda yang terpilih akan turut dipaparkan. Pemilik kenderaan boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Honda yang berdekatan dari senarai yang disediakan tersebut dengan menyatakan nombor VIN kenderaan untuk diperiksa status kenderaan mereka dan membuat tempahan slot penggantian secara percuma jika terlibat. 

 

3. Pemilik kenderaan akan diminta untuk berkongsi butiran mereka bagi membolehkan Chevrolet membuat pemakluman dan kemaskini yang penting berkenaan dengan kempen memanggil semula itu. 

 

Tambahnya, selain media arus perdana, beberapa siri inisiatif jangkauan juga akan diaktifkan dalam usaha untuk menghubungi seramai mungkin pemilik kenderaan yang terlibat. 

 

Katanya, ini termasuk jangkauan melalui platform media sosial, SMS dan e-mel. Pasukan panggilan juga telah disediakan untuk menghubungi pemilik kenderaan yang mungkin mengalami kesukaran sambungan internet. 

 

Untuk pertanyaan lanjut, pemilik kenderaan boleh menghubungi +6011-3129 9963 atau +6011-3129 9965 atau layari www.chevrolettakatarecallmy.com. - DagangNews.com