The Chicken Rice Shop kongsi kasih sayang dengan Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

The Chicken Rice Shop kongsi kasih sayang dengan Keluarga Malaysia

Pravin Nagapan Gopalakrishnan, Koordinator dari badan The Hope Branch bersama juadah yang disumbangkan oleh The Chicken Rice Shop untuk keluarga terkesan ekoran PKP semasa pandemik COVID-19.

 

 


KUALA LUMPUR 7 Sept – The Chicken Rice Shop meraikan semangat Merdeka dengan mengangkat nilai terbaik rakyat Malaysia iaitu ‘murah hati’, bersedia membantu mereka yang memerlukan, kepelbagaian budaya dan  keharmonian warisan yang penuh berwarna-warni.

 

Rantaian restoran milikan tempatan ini bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu keluarga yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (MCO), baru-baru ini.

 

Dengan kerjasama tiga NGO tersebut iaitu IMARET, The Hope Branch dan Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, The Chicken Rice Shop menyampaikan paket makanan nasi ayam kepada lebih 1,000 golongan B40 dan gelandangan.

 

Selain itu, sebagai menghargai cara hidup kepelbagaian kaum yang damai dan unik di Malaysia, The Chicken Rice Shop juga melancarkan video Merdeka 2021 yang memaparkan kisah keluarga dari perkahwinan campuran pelbagai etnik di Malaysia. Kisah suka, duka, kejutan budaya dan kisah yang mencuit hati dapat dilihat dalam video menyentuh hati ini. Lawat www.thechickenriceshop.com untuk menyaksikan video ini.

 

The Chicken Rice Shop juga mengundang rakyat Malaysia untuk berkongsi detik Merdeka yang paling bermakna untuk memenangi hadiah pelbagai menarik. Inisiatif ini adalah untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya mencipta kenangan Merdeka baru sebaik sahaja wabak global berakhir.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TCRS Restaurants Sdn Bhd, Wong Kah Yong berkata “Pada waktu yang mencabar ini, kita harus mengingatkan diri sendiri dan juga semua rakyat Malaysia bahawa masih banyak yang boleh kita syukuri dan raikan.

 

“The Chicken Rice Shop sentiasa mengalu-alukan kedatangan semua dan kami percaya bahawa Malaysia merupakan satu keluarga besar yang kaya dengan nilai-nilai kekeluargaan dan kebudayaan yang tinggi. Nilai ini menjadikan kita lebih kuat dan dengan menerapkan nilai murni serta tolong menolong, kita mampu melangkah maju sebagai sebuah negara,” katanya. – DagangNews.com