Chin Hin Group Property, Ivory Meadows bangunkan projek ikonik Crown Penang dengan GDV RM475 juta | DagangNews Skip to main content

Chin Hin Group Property, Ivory Meadows bangunkan projek ikonik Crown Penang dengan GDV RM475 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mei - Chin Hin Group Property Bhd menerusi anak syarikatnya, Stellar Platinum Sdn Bhd memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Ivory Meadows Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ivory Properties Group Bhd bagi membangunkan projek ikonik, Crown Penang, sekali gus menandakan penampilan pertamanya di negeri berkenaan. 

 

Chin Hin Group Property dalam kenyataan berkata, di bawah JDA, Stellar Platinum membiayai kos keseluruhan pembangunan projek berkenaan menerusi suntikan modal, dana dalaman, dan pinjaman kewangan, manakala Ivory Meadows membangunkan projek terbabit, termasuk perancangan, pembinaan, pemasaran dan jualan. 

 

Katanya, Stellar Platinum pula akan meneroka kerjasama dengan rakan niaga untuk mengambil alih 30% daripada pegangannya.

 

"Diilhamkan untuk menjadi pembangunan mercu tanda berlandaskan kelestarian dan berketumpatan rendah dengan seni bina minimalis, Crown Penang dengan ketinggian 41 tingkat meliputi 588 unit kediaman dengan menampilkan teknologi rumah pintar termaju dalam suasana resort bandar yang penuh ketenangan. 

 

"Projek pembangunan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM475 juta ini dijangka siap pada 2027," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, Crown Penang dijangka menampilkan sentuhan firma pemenang pelbagai anugerah bertaraf dunia seperti Quintrix Architects, Chaos Design Studio, Sputnik Forest Labs, Permata Green dan Arup. 

 

Katanya, projek yang menjadi satu-satunya pembangunan dengan dek kemudahan atas bumbung dua tingkat yang 'memayungi' menara kediaman ini, terletak di atas sebidang tanah terakhir di kawasan kejiranan pinggir laut berprestij di Seri Tanjung Pinang 1 dengan akses langsung ke Dermaga Gurney menerusi jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang. 

 

 

chinhin

 

 

Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Chin Hin Group Property, Datuk Seri Chiau Beng Teik berkata, pihaknya percaya dalam menjalinkan kerjasama strategik bagi mempercepatkan pertumbuhan nilai kepada pelanggan dan pemegang saham.

 

Katanya, mereka berbesar hati untuk mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan melaksanakan penerokaan pertama ke dalam pasaran hartanah menarik di Pulau Pinang yang dijangka terus melonjak pasca pandemik.

 

"Kami yakin Crown Penang akan diterima baik dan bakal menetapkan standard baharu dalam pasaran hartanah dan pelancongan yang sedang berkembang pesat di Pulau Pinang," katanya.

 

Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Ivory Properties Group, Datuk Abdul Malik Abul Kassim pula berkata, kerjasama itu menandakan kejayaan penting bagi kedua-dua pihak dan beliau yakin dengan kejayaan kerjasama itu. 

 

Kediaman yang ditawarkan menerusi Crown Penang terdiri daripada unit studio hingga kediaman dengan tiga bilik tidur dengan saiz binaan dari 495 kaki persegi hingga 1,367 kaki persegi. 

 

Pembangunan yang terletak bersebelahan Dermaga Gurney, pusat rekreasi awam tepi laut berkeluasan 60 ekar yang akan dibangunkan kerajaan negeri dengan fasa pertama dijangka siap Mei tahun depan.

 

Ia juga terletak berhampiran dengan kemudahan lain termasuk Lotus’s Tanjung Pinang dan Straits Quay Retail Marina yang berada dalam jarak berjalan kaki, selain bank, pusat beli-belah, pusat perubatan, sekolah, pasar, restoran, kedai kopi dan pusat penjaja terletak dengan hanya jarak beberapa minit. - DagangNews.com