Chin Hin Property beli tanah RM40 juta di tengah kota Georgetown, perkukuh operasi di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Chin Hin Property beli tanah RM40 juta di tengah kota Georgetown, perkukuh operasi di Pulau Pinang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jan -  Chin Hin Property (Penang) Sdn Bhd, anak syarikat Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) memeterai perjanjian dengan Ivory Gleneary Sdn Bhd (IGSB) untuk membeli tanah berukuran 0.492 hektar di Pulau Pinang dengan harga RM40 juta.

 

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, tanah hak milik kekal tersebut membentuk sebahagian daripada tanah seluas 4.922 hektar yang dipegang di bawah hak milik induk di pusat bandar Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.

 

"Harga pembelian dijangka dibiayai menerusi gabungan dana dijana dalaman dan pinjaman bank, perkadaran akan ditentukan kemudian selepas mengambil kira tahap kadar hutang, kos faedah dan rizab tunai kumpulan," kata syarikat itu semalam.

 

Menurut CHGP, cadangan pembelian itu sejajar dengan strategi keseluruhan kumpulan untuk mendapatkan simpanan tanah baharu dan mengembangkan segmen pembangunan hartanahnya.

 

chin 2

 

Kata pemakluman itu, berikutan lokasi tanah tersebut yang strategik dan tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah yakin pembangunan itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan CHGP pada masa hadapan.

 

"Oleh itu, cadangan pengambilalihan tersebut memberi prospek yang baik kepada kumpulan kerana ia selaras dengan strategi kumpulan untuk mengukuhkan segmen pembangunan hartanah.

 

"Ini juga pada masa yang sama mempelbagaikan operasi di Pulau Pinang," jels CHGP sambil memaklumkan urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2025 jika tiada keadaan di luar jangka.

 

Harga pembelian RM40 juta itu dipersetujui bersama selepas mengambil kira potensi pembangunan tanah tersebut, kata CHGP yang terbabit dalam perniagaan pembangunan hartanah. - DagangNews.com