KUALA LUMPUR 1 Julai - Chin Teck Plantations Bhd diramal mencatat keputusan lebih baik bagi FY24 dipacu pertumbuhan buah tandan segar (BTS) yang lebih kukuh daripada jangkaan dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang stabil.
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, pengeluaran BTS meningkat 19.9% dari tahun ke tahun (YoY) kepada 177,967 tan metrik dalam tempoh sembilan bulan, melepasi unjuran 5%.
"Pada suku ketiga, pengeluaran BTS melonjak 59.8% kepada 60,693 tan metrik, manakala purata harga MSM meningkat daripada RM4,044 satu tan metrik kepada RM4,128 satu tan metrik.
"Memandangkan pengeluaran BTS dan harga MSM yang lebih baik, kami menjangkakan pendapatan yang lebih kukuh untuk suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) (Mac 2024–Mei 2024), dengan keputusan dijangka dikeluarkan pada akhir Julai 2024," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan rizab tunai melebihi RM400 juta, Chin Teck berada pada kedudukan yang baik untuk meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi mengembangkan simpanan tanahnya di kawasan perladangan semasanya.
Mengenai potensi penswastaan syarikat itu, PublicInvest berkata, ia tidak boleh diketepikan memandangkan diskaun yang ketara kepada nilai asasnya, memandangkan nisbah harga kepada pendapatan P/E syarikat hanya 2x selepas mengambil kira pegangan tunainya sebanyak RM409 juta dan sekuriti pelaburan sebanyak RM140 juta.
“Dalam laporan pada 25 Mac 2024, kami menyerlahkan potensi penswastaan berikutan diskaun yang ketara kepada nilai asas syarikat, dengan nilai saksama dianggarkan lebih RM900 juta, atau RM9.84 sesaham.
"Pada harga saham semasa, keluarga Goh memerlukan kira-kira RM150–200 juta untuk menswastakan kumpulan itu, yang memiliki rizab tunai RM409 juta," katanya.
PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM8.38 sesaham. - DagangNews.com