China Eastern Airlines perkenal laluan baharu penerbangan terus Nanjing ke Sarawak, Sabah bermula Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

China Eastern Airlines perkenal laluan baharu penerbangan terus Nanjing ke Sarawak, Sabah bermula Jun 2024

KUCHING 5 Jan - China Eastern Airlines akan memperkenalkan laluan baharu menghubungkan Nanjing, China ke Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah pada Jun ini.

 

Ia akan menjadi penerbangan terus pertama dari Sarawak ke China selepas beberapa tahun.

 

Bagi laluan Nanjing ke Kuching, perkhidmatan itu akan bermula pada 24 Jun, dengan tiga penerbangan mingguan pada Selasa, Khamis dan Sabtu, menggunakan pesawat seperti Boeing 737-800 atau Airbus A320neo bagi kedua-dua laluan

 

Selain itu, China Eastern Airlines juga akan melancarkan penerbangan harian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai ke destinasi baharu di Malaysia pada separuh kedua tahun ini, termasuk penerbangan harian ke Pulau Pinang bermula 24 Julai dan penerbangan pergi balik ke Kuching, Sarawak dari pertengahan September.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing juga mendedahkan bahawa dua syarikat penerbangan dari China, iaitu China Eastern Airlines dan Shanghai Airlines, telah mengesahkan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan pulang antara Malaysia dan China kepada minimum 62 penerbangan mingguan setahun.

 

glight

 

Beliau berkata, kedua-dua syarikat penerbangan itu juga akan membuka laluan lima lokasi baharu, iaitu dari Beijing, Xi’an, Urumqi, Nanjing dan Kunming selain tiga destinasi baharu akan ditambah, iaitu Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

 

"Menurut statistik Shanghai Airlines, sejak kerajaan Malaysia melaksanakan pengecualian visa untuk pelancong Cina, jumlah penumpang Cina yang datang ke Malaysia meningkat sebanyak 45% dalam sebulan sehingga 31 Disember 2023, manakala penumpang Malaysia ke China meningkat sebanyak 23%.

 

"Maklum balas positif terhadap pengecualian visa mendorong syarikat penerbangan untuk meningkatkan penerbangan dan membuka laluan baharu, bertujuan memenuhi permintaan tinggi dalam pasaran dan menggalakkan lawatan antara kedua-dua negara pada tahun akan datang," katanya.

 

Beliau berkata, rancangan untuk menambah penerbangan sedia ada Shanghai Airlines, khususnya di laluan Lapangan Terbang Shanghai Pudong ke Kuala Lumpur,  bermula 19 Januari ini, bilangan penerbangan akan meningkat kepada 21 berbanding 17, menggunakan Boeing 787-9 Dreamliner.

 

Katanya, bermula 26 Januari, China Eastern Airlines akan memulakan penerbangan dalam laluan Beijing ke Kuala Lumpur, dengan satu penerbangan pergi balik setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad, menggunakan pesawat Airbus A330.

 

“Saya juga telah membuat cadangan dan berharap China Eastern Airlines akan mempertimbangkan untuk menambah kekerapan penerbangan kepada sekali sehari secepat mungkin berdasarkan permintaan pasaran selepas laluan itu dibuka,” katanya.

 

flight

 

Mengenai laluan baharu Urumqi-Kuala Lumpur, King Sing berkata, China Eastern Airlines merancang untuk melaksanakan penerbangan sewa seawal Mei dan lewat Julai, dengan tiga penerbangan mingguan pada Selasa, Khamis dan Sabtu. 

 

Selepas tiga bulan awal, mereka merancang untuk beralih kepada penerbangan pergi balik yang dijadualkan setiap hari semasa musim haji.

 

Syarikat penerbangan itu juga akan melancarkan penerbangan terus dari Kunming-Kuala Lumpur bermula pada 1 Februari dan Xi’an-Kuala Lumpur mulai 25 Mac. - DagangNews.com