China State Construction Engineering terima kontrak bernilai RM389 juta daripada EcoFirst bagi kerja struktur KL48 | DagangNews Skip to main content

China State Construction Engineering terima kontrak bernilai RM389 juta daripada EcoFirst bagi kerja struktur KL48

Ilustrasi artis mengenai pembangunan KL48 di Chan Sow Lin, Sungai Besi.

KUALA LUMPUR 5 Dis - EcoFirst Consolidated Berhad (EcoFirst) menganugerahkan kontrak bernilai RM389 juta kepada China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja struktur pangsapuri servis KL48 di Chan Sow Lin, Sungai Besi.

 

Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoFirst, Wilbert Goh berkata, kerjasama itu menandakan usaha penting kumpulan bagi merealisasikan visi pembinaan KL48.

 

"Kerjasama ini bukan sekadar kontrak tetapi ia adalah visi bersama, gabungan kepakaran yang bertujuan untuk mentakrifkan semula piawaian industri.

 

"Sejak pelancaran rasminya pada Mei 2023, sambutannya adalah luar biasa, dengan kadar pengambilan sebanyak 80% setakat hari ini," katanya.

 

KL48 terletak di atas tanah seluas 1.69 hektar dan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion. Ia akan mempunyai sejumlah 1,700 unit dua jenis, dengan binaan seluas 650 kaki persegi (kaki persegi) dan 850 kaki persegi dengan harga jualan bermula dari RM500,000.

 

Kl48
Wakil wilayah Asia China State Construction Engineering, Lyu En (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Wilbert Goh dalam satu majlis di ibu negara hari ini.

 

Kerja-kerja cerucuk dan penutup cerucuk dijadualkan siap pada bulan ini dan kerja-kerja bawah tanah berada di landasan tepat untuk disiapkan menjelang Februari 2024. KL48 dijangka siap menjelang suku kedua 2027.

 

Sementara itu, Wilbert mendedahkan bahawa tidak akan ada sebarang pelancaran baharu di Ampang Ukay dalam masa terdekat, kerana stesen MRT3 akan datang.

 

“Buat masa ini, kami tidak boleh melakukan sebarang pelancaran kerana akan ada stesen MRT3 yang terletak berhampiran tanah kami dan kerajaan negeri Selangor sedang dalam penetapan semula zon tanah itu,” tambahnya.

 

Penetapan semula termasuk sebahagian daripada tanah pembangunan Ampang Ukay EcoFirst. Justeru, beliau berkata, pelancaran baharu di Ampang Ukay mungkin akan dilakukan dalam tempoh dua tahun akan datang, selepas penetapan semula zon itu selesai.- DagangNews.com