CIAST sebagai platform melahirkan tenaga pengajar kemahiran profesional selaras keperluan TVET Madani | DagangNews Skip to main content

CIAST sebagai platform melahirkan tenaga pengajar kemahiran profesional selaras keperluan TVET Madani

Oleh  Nurul Nisha Mohd Shah dan Ts. Mohd Hazimin Mohd Nawawi

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani merupakan inisiatif yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan vokasional di Malaysia, dengan menekankan aspek kemahiran, nilai murni, dan kelestarian.

 

Pihak kerajaan dibawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat amat komited dalam memperkemaskan tadbir urus ekosistem TVET Negara dibawah 4 tonggak yang utama iaitu

  1. mewujudkan daya saing mampan melalui pemupukan daya tahan dan kecemerlangan;
  2. mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran berterusan;
  3. membentuk ekosistem dan lanskap pembelajaran lestari dan terkini di setiap peringkat; dan
  4. melahirkan tenaga mahir TVET holistik memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

 

Oleh itu, bagi menjayakan segala perancangan tersebut maka adalah penting untuk membangunkan kemahiran profesional tenaga pengajar dalam bidang kemahiran ini.

 

Pengerusi Majlis TVET Negara merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi turut giat mempromosikan kursus-kursus TVET di seluruh negara.

 

 

ciast
 Nurul Nisha Mohd Shah dan Ts. Mohd Hazimin Mohd Nawawi


 

Pemohon kursus TVET pastinya akan lebih teruja apabila mengetahui bahawa bakal tenaga pengajar mereka adalah mereka yang kompeten dalam bidang masing-masing.

 

Justeru, bagi memenuhi keperluan untuk menyediakan tenaga pengajar yang professional maka Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) menyempurkan peranannya.

 

CIAST, sebagai sebuah institusi yang memimpin dalam latihan tenaga pengajar kemahiran, memainkan peranan penting dalam pelaksanaan TVET Madani.

 

 

ciast

 

 

Melalui program upskilling dan reskilling, CIAST menyediakan tenaga pengajar yang bukan sahaja kompeten dalam bidang teknikal, kemahiran insaniah  tetapi juga membawa nilai-nilai madani yang menjadi teras kepada TVET Madani.

 

CIAST merupakan institusi barisan hadapan pusat latihan pengajar Kementerian Sumber Manusia di Malaysia, ditubuhkan dengan tujuan untuk melahirkan tenaga pengajar yang tidak hanya mahir dalam bidang teknikal dan vokasional, tetapi juga kompetitif di peringkat global.

 

Dengan fokus kepada pembangunan kemahiran yang holistik, CIAST memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti tinggi, yang seterusnya meningkatkan tahap pendidikan kemahiran di Malaysia.

 

CIAST telah mengambil inisiatif dalam mengembangkan kurikulum yang tidak hanya relevan dengan keperluan industri semasa, tetapi juga yang merangkumi teknologi terkini dan metodologi pengajaran yang efektif.

 

Contoh pelaksanaannya adalah seperti Program Train the Trainers (TTT), NDTS Coach/Trainer, Master Trainer, New Emerging Technology (NET), Training of Trainers (ToT) dan sebagainya.

 

 

ciast

 

ciast

 

Keadaan ini amat penting dalam memastikan tenaga pengajar yang dilatih mampu menghadapi cabaran-cabaran moden terutamanya dalam pendidikan teknikal dan vokasional.

 

Kefungsian yang siginifikan CIAST adalah penekanannya pada pembelajaran relevan, fleksibel serta berterusan.

 

Melalui jabatan seperti Program Pembangunan Profesional Kemahiran (SPD) dan Pembangunan Pengajar Kemahiran (PPK), tenaga pengajar yang terlibat dengan CIAST diberikan peluang untuk mengikuti kursus-kursus peningkatan pengajar kemahiran secara berkala, yang pastinya membantu mereka untuk kekal relevan dalam industri yang sentiasa bertransformasi.

 

Para tenaga pengajar ini diberikan pendedahan bagi menguasai teknologi baru serta teknik pengajaran yang lebih efektif.

 

CIAST juga aktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai sektor industri untuk memastikan bahwa kursus dan modul latihan yang ditawarkan adalah sesuai dengan keperluan pasaran kerja.

 

Tindakan ini tidak hanya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bahkan memastikan bahawa tenaga pengajar yang dilatih mampu menyampaikan ilmu yang relevan dan terkini.

 

Institusi ini juga telah membuktikan penglibatan serius dalam pengukuhan kurikulum TVET melalui program antarabangsa seperti Program Latihan Negara Ketiga (TCTP), Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Program Kerjasama ASEAN-Jepun.

 

 

ciast

 

ciast

 

 

Kesemua program ini adalah bukti komitmen semua pihak terlibat ke arah mempromosikan kerjasama teknikal dalam kalangan negara-negara membangun.

 

Berbekalkan sumber tenaga pengajar yang kompeten dan berpengetahuan, CIAST berjaya meningkatkan tahap pendidikan kemahiran di Malaysia. Keadaan ini terbukti melalui peningkatan kualiti graduan yang tidak hanya mahir dalam kemahiran teknikal, tetapi juga mampu berfikir kritis dan inovatif.

 

Tenaga pengajar yang dilahirkan oleh CIAST memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi negara melalui pembangunan sumber manusia yang berkemahiran tinggi, dan secara tidak langsung membantu Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan meningkatkan daya saing negara.

 

Program dan metodologi pengajaran yang diterapkan oleh CIAST telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, menjadikan institusi ini sebagai salah satu pusat kecemerlangan dalam pendidikan kemahiran di peringkat ASEAN.

 

Ini membuka peluang lebih luas bagi tenaga pengajar CIAST untuk berkarier di peringkat global.

 

CIAST telah membuktikan dirinya sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga pengajar kemahiran yang tidak hanya berpengetahuan (knowledgeable) dan kompeten tetapi juga berdaya saing (competitive) di peringkat global.

 

 

ciast

 

ciast

 

 

Melalui inisiatif-inisiatif yang berterusan dalam pembangunan kurikulum, latihan berterusan, dan kolaborasi industri, CIAST memastikan bahawa tenaga pengajar yang dihasilkan mampu memenuhi dan melebihi standard yang ditetapkan oleh industri pendidikan kemahiran.

 

Dengan itu, CIAST terus memainkan peranan kritikal dalam memajukan pendidikan kemahiran di Malaysia, sambil menyumbang secara signifikan ke arah pembangunan ekonomi dan teknologi negara.

 

Tenaga pengajar yang dilatih oleh CIAST adalah pengajar TVET Madani yang relevan dan komprensif.

 

Mereka bertanggungjawab memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi global yang berteraskan pengetahuan dan inovasi.

 

Melalui pendekatan holistik dalam latihan tenaga pengajar, CIAST menyokong visi TVET Madani untuk membina ekonomi yang mampan.

 

Tenaga pengajar yang kompeten dalam mengintegrasikan aspek teknikal dan madani dalam pengajaran mereka adalah kunci untuk mencapai matlamat ini.

 

Pekerja dalam bidang TVET kini tidak seharusnya terus dilabelkan sebagai indivdiu yang bekerja di kilang, atau di tempat panas atau 3 D – Dangerous, Dirty, Difficult.

 

Mereka adalah pekerja kolar biru yang kompeten dengan kemahiran dalam menyokong ke arah pembangunan negara.

 

Masyarakat perlu sedar hanya dengan bidang kemahiran mampu menyempurnakan aspirasi negara ke arah negeri maju.

 

 

ciast

 

 

Kita pastinya tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja luar andai generasi muda kini mempersiapkan diri mereka sebagai profesional dalam bidang teknikal dan vokasional.

 

Dengan adanya tenaga pengajar yang dilatih oleh CIAST maka kualiti pendidikan TVET di Malaysia akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga dalam pembentukan sikap dan nilai yang positif.

 

Situasi ini pastinya dapat memastikan graduan kita bukan sahaja bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan, tetapi juga mampu menghadapi cabaran sosial dan etika dengan penuh keyakinan dan integriti. - DagangNews.com

 

Nurul Nisha Binti Mohd Shah merupakan Pensyarah UiTM Negeri Sembilan dan Ts. Mohd Hazimin Mohd Nawawi adalah Pengajar di CIAST