CIDB lancar Portal Kontraktor Malaysia mudahkan transaksi kontraktor dengan kerajaan | DagangNews Skip to main content

CIDB lancar Portal Kontraktor Malaysia mudahkan transaksi kontraktor dengan kerajaan

KUALA LUMPUR 15 Feb - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pada Selasa melancarkan Portal Kontraktor Malaysia (MCP) bagi memudahkan urusan transaksi kontraktor dengan agensi-agensi kerajaan untuk tujuan pelesenan dan permohonan sijil serta kerja-kerja berkaitan.

 

Pelancaran portal yang dibangunkan CIDB itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup di Pusat Konvensyen CIDB di sini.

 

Joseph Kurup dalam ucapannya berkata, pelancaran MCP berkenaan adalah bertepatan dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025) bagi memenuhi keperluan industri pembinaan yang berubah seiring pembangunan pesat teknologi dan sistem lebih pintar.

 

"Oleh itu, MCP amat penting untuk penggiat industri pembinaan Malaysia khususnya bagi para kontraktor selaras dengan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan Kemudahan Menjalankan Perniagaan," katanya, lapor Bernama.

 

Menurutnya, MCP yang akan turut menyediakan Kad Laporan Kontraktor (CRC) yang membolehkan pencarian kontraktor serta pengaksesan profil kontraktor bakal memanfaatkan 131,121 kontraktor berdaftar di bawah CIDB.

 

Tambah beliau CRC penting bagi membolehkan pihak agensi membuat semakan latar belakang sesebuah syarikat kontraktor, membantu mengenal pasti kontraktor dan memudahkan proses penilaian dan pemilihan kontraktor.

 

Justeru, Joseph Kurup meminta semua agensi kerajaan serta syarikat swasta berkaitan sektor pembinaan untuk berkongsi maklumat prestasi kontraktor atau menjalankan projek mereka melalui MCP yang baharu dilancarkan itu.

 

Sementara itu Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata MCP akan terus dipertingkatkan berdasarkan input dan maklum balas daripada pengguna sistem ini kelak.

 

Kontraktor hanya perlu mendaftar masuk di https://mcp.cidb.gov.my/ untuk mendapat akses kepada semua agensi kerajaan yang bekerjasama melalui gerbang MCP seperti Pusat Khidmat Kontraktor, Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan lain-lain. - DagangNews.com