Cidekick melancarkan App untuk sektor pekerjaan gig | DagangNews Skip to main content

Cidekick melancarkan App untuk sektor pekerjaan gig

Pengasas Cidekick dan Ketua Pegawai Eksekutif, Philip Phua

 


PETALING JAYA 24 Nov – Cidekick melakar kedudukannya dalam sektor ekonomi ‘gig’ dengan penciptaan app baharu untuk memudah cara pemadanan pekerjaan di antara pekerja bebas dan sektor perniagaan. 

 

App tersebut yang dilancarkan pada 18 November 2021, akan memanfaatkan kedua-dua pihak pencari pekerjaan ‘gig’ dan para majikan bertujuan mempertingkatkan akauntabiliti dan ketelusan proses pengambilan pekerja dan persekitaran pekerjaan. 

 

Pengasas Cidekick dan Ketua Pegawai Eksekutif, Philip Phua berkata, pembangunan app tersebut didorong oleh banyak kejadian persekitaran pekerjaan yang tidak selamat, bayaran yang dilengah-lengahkan, peluang pekerjaan yang tidak bermoral dan eksploitasi pencari kerja sementara.

 

“Kami ingin membezakan syarikat kami dan ingin menjadi lebih daripada platform pemadanan pekerjaan ‘gig’.

 

‘’App baharu ini akan membolehkan halangan keselamatan supaya pencari pekerjaan ‘gig’ terutamanya golongan milenial boleh mencari pendapatan sampingan di atas platform yang memastikan akauntabiliti bagi kedua- dua pihak iaitu majikan dan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Philip berkata, ia akan memberikan keyakinan dan keselamatan kepada mereka yang mencari kerja sementara atau pekerjaan ‘gig’ terutamanya golongan muda yang mungkin tidak mempunyai pendedahan yang ekstensif kepada dunia pekerjaan . 

 

Menurutnya, Cidekick secara asasnya mencipta platform yang berwibawa dan boleh dipercayai bagi mereka yang sedang mencari kerja sebagai promoter, model, kakitangan gudang dan pelayan tetamu antara lain. 

 

Bagi pihak majikan pula mereka dapat memantau prestasi kerja kerana papan pemuka proprietori akan membolehkan mereka untuk menjejak pelbagai pekerja ‘gig’ secara individu atau secara kolektif. 

 

“Majikan akan mempunyai capaian kepada pelbagai jenis laporan seperti laporan jualan dan laporan pelanggan dan juga boleh mengakses alat video dan foto untuk memudah cara pengurusan  prestasi Cidekick di mana jua dan pada bila-bila masa.”

 

Sebagai satu daripada peneraju industri , Cidekick merupakan platform terbesar untuk pekerjaan acara dan ‘gig’ di Malaysia.


 

cidekick
Kakitangan Cidekick

 

 

Ia ditubuhkan pada bulan Januari 2016 dan telah melayan sekitar 15,000 pengguna aktif hingga ke hari ini dengan peningkatan mendadak ketika dua tahun yang lampau apabila pandemik COVID-19 melanda. 

 

“Ramai pengguna kebelakangan ini adalah bekas pemandu Grab dan pekerja dalam bidang perhotelan dan peruncitan yang mengalami kesan kewangan yang teruk akibat pandemik.

 

“Menyedari hakikat ini, kami mempertingkatkan kerjasama dengan  kerajaan  negeri Selangor  melalui projek Rakan Digital yang dijalankan atas platform kami dan telah menawarkan dengan jayanya pekerjaan dengan opsyen berkerja dari rumah,” Philip berkata, dan pekerjaan-pekerjaan ini menawarkan upah di antara RM100 hingga RM150 sehari.

 

Kakitangan ‘gig’ telah semakin meningkat dewasa ini dengan lebih ramai orang yang ingin bekerja untuk projek jangka masa singkat yang membolehkan fleksibiliti dan peluang yang lebih.

 

Terdapat juga pertambahan pemintaan untuk promoter dalam talian dan kakitangan gudang disebabkan oleh pertambahan dalam jualan dalam talian dan juga akibat terciptanya ekonomi ‘gig’ baharu seperti pencipta kandungan mudah alih. 

 

Kesemua faktor ini menggalak pertumbuhan industri dan mendorong Cidekick menarik lebih ramai pengguna baik dari segi majikan ataupun pengguna. 

 

Cidekick telah dengan jayanya membantu lebih dari 300 pelanggan untuk memenuhi keperluan pekerja ‘gig’ mereka sejak penubuhannya.

 

Ini termasuk kerajaan negeri Selangor, Grab, Foodpanda, Touch 'n Go, Fave, Caring, Signature Market, di antara lain dan lebih 50,000 jam kerja yang direkod.


 

cidekick

 


Kini ia telah mencatat keuntungan selepas 5 tahun beroperasi, syarikat sedang mencari peluang untuk membina keyakinan para pelabur untuk menjadi platform pekerja ‘gig’ yang terbesar dan pertama di Asia Tenggara untuk menawarkan pelbagai peluang kepada aktiviti utamanya.

 

“Kami ingin berkembang di seluruh Asia Tenggara untuk menawarkan peluang ekonomi yang lebih kepada pekerja ‘gig’. Seiring dengan pertambahan automasi, akan terdapatnya beberapa posisi yang memerlukan interaksi manusia dan kreativiti. Kami juga percaya yang pelanggan-pelanggan kami memerlukan pendekatan peribadi untuk tujuan pemasaran dan acara,” tambah Philip.

 

Cidekick telah menerima pembiayaan permulaan sebanyak RM775,000 daripada Cradle Malaysia di bawah program DEQ800. Philip kini mencari pelabur-pelabur baharu untuk membiayai pertumbuhan dan pengembangan syarikatnya.

 

Syarikat telah pun mengadakan perbincangan untuk mengembangkan perniagaannya ke Indonesia pada tahun depan, terdapat juga perancangan untuk menembusi pasaran Thailand dan Singapura. – DagangNews.com