CIMB Bank perkenal perkhidmatan bayar cukai LHDN di platform perbankan dalam talian | DagangNews Skip to main content

CIMB Bank perkenal perkhidmatan bayar cukai LHDN di platform perbankan dalam talian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) telah memperkenalkan perkhidmatan e-bil bersepadu baharu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada platform perbankan dalam talian.

 

Pelanggan kini boleh membayar cukai LHDN dengan lebih mudah menerusi CIMB BizChannel dan CIMB Clicks.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, CIMB berkata ia menjadi bank pertama dalam pasaran yang melaksanakan perkhidmatan baharu tersebut agar peniaga dapat memenuhi kewajipan cukai mereka dengan lebih mudah.

 

Pelanggan boleh melakukan pembayaran dengan mendapatkan Nombor Bil melalui MyTax di portal perkhidmatan LHDN yang kemudiannya diisi di bahagian pembayaran bil dalam platform CIMB BizChannel atau CIMB Clicks.

 

Pelanggan perlu pilih 'LHDN e-Billing' sebagai pengebil dan masukkan Nombor Bil, di mana butiran pembayar cukai akan dipaparkan secara automatik dan bayaran boleh dibuat terus daripada akaun mereka.

 

Dengan integrasi perkhidmatan sistem e-bil LHDN ke dalam platform CIMB, setiap transaksi pembayaran cukai akan mempunyai nombor unik untuk rujukan LHDN.

 

Ini akan membantu memastikan ketepatan dan ketelusan transaksi, dengan pengesahan pembayaran yang selamat melalui sambungan langsung ke LHDN.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata perkhidmatan ini menawarkan kaedah pembayaran cukai yang dipermudah serta diperkemas untuk pelbagai perniagaan, termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

“Kami komited untuk terus menyediakan penyelesaian inovatif yang mengutamakan pelanggan dalam memenuhi keperluan perniagaan yang sentiasa berkembang, serta pengalaman perbankan yang selamat dan cekap bagi pelanggan kami,” ujar beliau.

 

Perkhidmatan e-bil baharu ini menambah kaedah pembayaran cukai lain yang tersedia melalui CIMB seperti FPX dan pembayaran kad kredit dalam talian melalui portal MyTax, serta ATM Bank termasuk pembayaran di kaunter di semua cawangan CIMB seluruh. - DagangNews.com