Pos Malaysia lancarkan Pos Shop ke-36 di Pudu, kenalkan konsep inovatif ‘Shop in Shop’ ke pasaran | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lancarkan Pos Shop ke-36 di Pudu, kenalkan konsep inovatif ‘Shop in Shop’ ke pasaran

(Dari kiri) Ketua Kedai Pos, Foong Poh Yoong; Ketua Peruncitan (Pos Malaysia), Khazalin Ghuzal; Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kemampanan Kumpulan (Pos Malaysia), Fiona Liao; Timbalan Menteri Perhubungan, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept -  Pos Malaysia Berhad melancarkan Pos Shop ke-36 di Pudu yang memperkenalkan konsep inovatif ‘Shop in Shop’ ke pasaran, mewakili perubahan besar dari model tradisional. 

 

Pos Malaysia berkata, walaupun Pos Shop asal diintegrasikan dalam pejabat pos, reka bentuk inovatif tersebut menempatkan pejabat pos di dalam Pos Shop, menawarkan pengalaman runcit yang segar dan kontemporari. 

 

"Integrasi ini mencerminkan komitmen Pos Malaysia untuk menyediakan penyelesaian sehenti bagi komuniti setempat. 

 

"Dengan menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan dengan ruang runcit yang menyediakan keperluan harian dalam suasana membeli-belah yang selesa," ulasnya. 

 

Berkeluasan lebih 900 kaki persegi, Pos Shop Pudu menawarkan pelbagai pilihan untuk pelanggan, termasuk Pos Kafe yang menawarkan pelbagai pilihan makanan termasuk kopi, minuman dan makanan segera.

 

Menurut Pos Malaysia, kedai itu juga menjual barangan keperluan harian, produk penjagaan diri dan isi rumah. 

 

"Pelanggan juga boleh menambah nilai perkhidmatan peranti mudah alih mereka dengan mudah dan membuat pembayaran bil di Pos Shop," katanya. 

 

Pelancaran itu, yang bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. 

 

Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao berkata, sejak pelancaran Pos Shop pertama di Jalan Medan Tuanku pada Mei 2023, syarikat telah menyaksikan peningkatan purata sebanyak 34% dengan jumlah pengunjung di pejabat pos. 

 

"Kejayaan ini membuktikan konsep peruncitan inovatif kami yang menggabungkan perkhidmatan pos tradisional dengan kemudahan moden,” ujarnya. 

 

Di samping itu, Pos Shop juga menyediakan peluang kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk mempamerkan dan menjual produk mereka melalui konsainan atau penyenaraian langsung. 

 

Liao mengulas, pendekatan itu bukan sahaja menggalakkan pembangunan ekonomi tetapi juga menyokong keperluan komunitinya. 

 

Melangkah ke hadapan, Pos Malaysia merancang untuk mempercepatkan pengembangannya, dengan sasaran untuk menubuhkan lagi 14 cawangan Pos Shop di negeri-negeri utama menjelang akhir 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 50 buah kedai di seluruh Malaysia. - DagangNews.com