AirAsia sasarkan kemasukan lima juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah pada 2025 | DagangNews Skip to main content

AirAsia sasarkan kemasukan lima juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah pada 2025

Gambar/Jetphotos.net
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Jan - AirAsia menyasarkan ketibaan lima juta pelancong ke Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada 2025, hampir dua kali ganda berbanding 3.7 juta pada 2024.

 

Sasaran pertumbuhan itu merangkumi kedua-dua pelancong domestik dan antarabangsa dan mengukuhkan kepimpinan AirAsia dalam mempertingkatkan hubungan udara di rantau ini serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonominya.

 

Bagi tujuan itu, pelan pengembangan syarikat penerbangan tersebut pada 2025 merangkumi pengukuhan rangkaian sedia ada yang melibatkan 27 laluan, terdiri daripada 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa keluar dan masuk dari Sabah. 

 

Penambahbaikan tersebut dijangka menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan tahunan dan pertumbuhan kapasiti tempat duduk sebanyak 43 peratus.

 

sabah
Gunung Kinabalu merupakan antara tarikan utama pelancong yang ke Sabah. Gambar/Sabah Tourism​​​​

 

Pada 2024, AirAsia memainkan peranan utama dalam membantu Sabah mencapai sasaran lebih tiga juta pelancong, membawa sebahagian besar daripada jumlah tersebut dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terkemuka yang menyokong hubungan dan pertumbuhan pelancongan di rantau ini.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong ekosistem pelancongan di rantau ini, syarikat penerbangan tersebut mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah untuk memperkukuhkan kerjasama dan menyelaraskan usaha dalam memperbaiki titik sentuhan pelancongan penting seperti penginapan, aktiviti, pengangkutan dan jangkauan kemudahan, serta meneroka pelaburan strategik untuk meningkatkan kemudahan pelancongannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, Sabah adalah pasaran penting rangkaian AirAsia dan pihaknya berbangga menjadi syarikat penerbangan utama yang menghubungkan negeri itu dengan negeri-negeri lain di Malaysia dan pasaran antarabangsa utama. 

 

"Sasaran kami untuk menyambut lima juta pelancong pada 2025 menegaskan komitmen ini, disokong dengan pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran.

 

"Dengan kemasukan pelancong yang lebih tinggi, ia berpotensi memperkukuhkan ekonomi dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong," katanya dalam satu kenyataan.

 

sabah
Sabah juga kaya dengan pulau-pulau yang menarik antaranya Pulau Sipadan. Gambar/Sabah Tourism

 

Tambah beliau, kejayaan AirAsia di Sabah tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan rakan industri. 

 

"Untuk mengekalkan momentum ini, kami amat menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan insentif bersama daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, termasuk hotel dan pengusaha pelancongan. 

 

"Dengan melabur dalam promosi bersama dan menyokong laluan strategik, kita dapat memaksimumkan manfaat ekonomi pelancongan untuk Sabah dan mengekalkan trajektori pertumbuhan yang stabil," ujarnya.

 

Bo berkata, sebagai tambahan kepada usaha itu, AirAsia turut membuat pelaburan sasaran dalam tawaran Fly-Thru dan mengembangkan laluan utama di pasaran yang mendapat permintaan tinggi seperti Vietnam, India, Indonesia dan Kazakhstan. 

 

Katanya, inisiatif berkenaan diperkukuhkan lagi dengan kempen berterusan untuk menarik pelancong dari China, Hong Kong dan Singapura. 

 

"Bersama rakan kongsi kami, kami mahu menjadikan Sabah sebagai destinasi global yang berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan bertaraf dunia," jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jimit berkata, rangkaian luas AirAsia dan pelaburan berterusan syarikat itu telah mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa. 

 

sabah
Lembah Danum yang terletak di Lahad Datu adalah destinasi yang tepat untuk pencinta flora dan fauna. Gambar/Sabah Tourism

 

"Kami teruja untuk memperdalamkan kerjasama kami bagi meningkatkan tawaran rantau ini dan memastikan semua pihak berkepentingan bersedia untuk memenuhi jangkaan peningkatan ketibaan pelancong hasil daripada inisiatif AirAsia," katanya.

 

Pada 2024, AirAsia dan STB memeterai perjanjian strategik lima tahun untuk memajukan industri pelancongan di rantau ini dengan meningkatkan hubungan udara merentasi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines (BIMP-EAGA) dan mengembangkan sambungan ke rantau ASEAN yang lebih luas, Asia Utara dan Oceania dari 2024 hingga 2028. - DagangNews.com