Kerjasama Ikim, KMI Healthcare dan UTP angkat nilai syariah dalam penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Ikim, KMI Healthcare dan UTP angkat nilai syariah dalam penjagaan kesihatan

Gambar/Ikim FM
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Jan - Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya melaksanakan Simposium Shariacare, yang menekankan pembangunan nilai-nilai syariah dalam bidang penjagaan kesihatan.

 

Acara itu yang menghimpunkan pelbagai tokoh profesional dalam bidang perubatan, kesihatan, agama, polisi dan etika, membawa tema Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah sebagai fokus perbincangan.

 

Penganjuran simposium tersebut merupakan kesinambungan kepada satu projek penyelidikan melibatkan Ikim dan UTP bersama-sama penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkenaan Shariah-Compliant Islamic Medical Service Standard Framework for Health Provider in Malaysia.


 
Usaha berkenaan mencapai kemuncaknya pada awal tahun 2024 dengan pembangunan Rangka Kerja Pematuhan Syariah untuk sektor penjagaan kesihatan iaitu sebuah pelan tindakan menyeluruh yang menyediakan garis panduan untuk penyedia perkhidmatan kesihatan dalam usaha mereka mematuhi syariah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, dengan kerjasama UTP, KMI Healthcare berbangga kerana menjadi antara pelopor yang meneroka kerangka kerja syariah yang lengkap dalam operasi hospital. 

 

"Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, tetapi juga akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Canselor UTP, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib pula berkata, pihaknya akan terus menyokong kerjasama dalam usaha peralihan negara ke arah perkhidmatan penjagaan kesihatan patuh syariah. 

 

"Harapan UTP melalui inisiatif perintis dalam sektor ini adalah untuk membangunkan rangka kerja penjagaan kesihatan berlandaskan syariah. 

 

"Rangka kerja ini bukan sahaja memenuhi keperluan pesakit beragama Islam, tetapi juga meningkatkan keberkesanan, keterangkuman dan standard etika sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhan," katanya.

 

Simposium Shariacare yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi semalam, turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

 

Dalam ucapannya, beliau berkata, perkhidmatan kesihatan merupakan satu komponen penting dalam pembangunan negara dan masyarakat.

 

Katanya, ia perlu dipikul bersama oleh sektor awam dan sektor swasta dalam memastikan kesihatan rakyat terpelihara.

 

"Dalam konteks perkhidmatan kesihatan berteraskan syariah, bukan sahaja aspek fizikal atau jasmani yang diberikan perhatian, malahan aspek rohani juga perlu diberikan penekanan. 

 

"Perkhidmatan kesihatan yang berteraskan syariah menjadi satu keperluan apabila wujud kemahuan dan kesungguhan untuk menyepadukan penjagaan dari aspek fizikal dan rohani mengikut nilai-nilai yang diketengahkan oleh ajaran Islam," katanya. - DagangNews.com