Sebanyak 4,161 unit hartanah tidak terjual di Perak, jumlah tertinggi di Malaysia pada separuh pertama 2024 - Napic | DagangNews Skip to main content

Sebanyak 4,161 unit hartanah tidak terjual di Perak, jumlah tertinggi di Malaysia pada separuh pertama 2024 - Napic

Projek perumahan Perakku Taman Tualang Sekah Fasa 2
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept - Perak mempunyai bilangan hartanah tidak terjual paling banyak diikuti Johor dan Kuala Lumpur, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

 

Napic melaporkan sebanyak 22,642 unit tidak terjual bernilai RM14.24 bilion direkodkan pada separuh pertama 2024 (1H2024).

 

Agensi itu berkata, keadaan kediaman tidak terjual bertambah baik didorong oleh volum dan nilai masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 12.3% dan 19.5%.

 

 

Ini berbanding 25,816 unit tidak terjual bernilai RM17.68 bilion yang dicatatkan pada separuh kedua 2023 (2H2023).

 

“Perak mencatatkan jumlah unit tidak terjual tertinggi di negara ini iaitu 4,161 unit, bersamaan 18.4%.

 

"Diikuti Johor (3,219 unit), Kuala Lumpur (3,051 unit), Pulau Pinang (2,400 unit) dan Selangor (2,328 unit)," ujar agensi itu.

 

Napic turut berkata, dari segi nilai, Kuala Lumpur mencatatkan nilai tertinggi dengan RM3.06 bilion, diikuti Johor (RM2.80 bilion), Pulau Pinang (RM2.02 bilion) dan Selangor (RM1.85 bilion).

 

Menurut Napic, kondominium/apartmen mewakili hampir 60% atau 13,535 unit daripada jumlah keseluruhan kediaman tidak terjual, diikuti rumah teres, 24.4% iaitu 5,524 unit.

 

Sementara itu, unit kondominium/apartmen di Johor Bahru, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur mendominasi unit tidak terjual, menyumbang 18.9% atau 4,284 unit daripada jumlah keseluruhan negara.

 

“Mengikut julat harga, rumah dalam julat harga mampu milik di bawah RM300,000 menyumbang 30.2% daripada jumlah keseluruhan negara.

 

"Jumlah itu terus merosot kepada 6,840 unit pada 1H2024 berbanding 7,592 unit pada 2H2023," jelasnya.

 

Menurut Napic, julat harga antara RM500,001 dan RM1 juta menduduki tempat kedua, mewakili 29.6% atau 6,694 unit.

 

Sementara itu, rumah dalam julat harga RM300,001 hingga RM500,000 membentuk 28.2% atau 6,389 unit, diikuti lebih RM1 juta yang menyumbang baki 12% atau 2,719 unit.- DagangNews.com