CIMB dijangka catat untung bersih RM1.07 bilion bagi 1QFY22 | DagangNews Skip to main content

CIMB dijangka catat untung bersih RM1.07 bilion bagi 1QFY22

KUALA LUMPUR 20 April - CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dijangka mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.07 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2022 yang dijadual diumumkan pada 31 Mei ini.

 

RHB Research berkata ini adalah 22% daripada unjurannya serta konsensus bagi jangkaan tahun kewangan 2022.

 

"Pertumbuhan 25% bagi suku ke suku dalam teras keuntungan bersih teras akan didorong terutamanya oleh peruntukan lebih rendah sebanyak 42% bagi suku ke suku," katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.

 

Menurutnya, kemas kini terbaharu daripada satu mesyuarat penganalisis juga mengunjurkan tiada sebarang kejutan negatif, terutama bagi aspek caj rosot nilai selain terdapat penambahbaikan sederhana dalam operasi asas dengan pihak pengurusan kekal selesa dengan panduan kos kredit mereka.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Invesment Bank, pula bimbangkan kemungkinan peruntukan lebih tinggi di tengah-tengah isu pengkreditan berganda serta cabaran khusus industri.

 

Kumpulan itu telah membuat peruntukan RM281 juta berkaitan ralat pemprosesan oleh perkhidmatan MoneySend CIMB pada suku keempat 2021 yang melibatkan transaksi pendua akibat kekangan keupayaan pemprosesannya yang sedang giat ditangani oleh kumpulan berkenaan.

 

"Langkah sedang diambil bagi memaksimumkan usaha mendapatkan semula dana-dana ini dan suku pertama tahun kewangan 2022 dijangka menyaksikan elaun tambahan yang tidak seteruk peruntukan RM281 juta yang diumumkan di atas," katanya, lapor Bernama.

 

Selain itu, CIMB turut menyediakan peruntukan awal bernilai RM2.2 bilion dengan pihak pengurusan menyasarkan penggunaan bahagian tempahan Malaysia (RM1.1 bilion) bagi akaun-akaun tertunggak.

 

"Selain itu, harga komoditi yang turun naik itu berkemungkinan memaparkan persekitaran operasi yang tidak menentu bagi akaun-akaun tertentu yang menyebabkan kumpulan mengekalkan RM600 juta bagi tindanan pembolehubah makroekonomi.

 

"Di samping itu, pengurusan juga beranggapan bahawa perkembangan dalam bidang minyak dan gas (O&G) berkemungkinan memerlukan lebih banyak penambahan atau peruntukan khusus," katanya. - DagangNews.com