CIMB lancar kempen Kita Bagi Jadi pupuk semangat daya tahan dalam kalangan rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

CIMB lancar kempen Kita Bagi Jadi pupuk semangat daya tahan dalam kalangan rakyat Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - CIMB Bank Bhd melancarkan kempen Kita Bagi Jadi untuk menjalin kerjasama yang lebih luas bagi memupuk semangat daya tahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank dan CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, CIMB telah melabur, menyumbang dan menyokong pelanggan serta masyarakat dalam pelbagai bidang selama bertahun-tahun. 

 

Katanya, dalam bidang inklusi kewangan dan akses kepada pembiayaan, syarikat telah menyalurkan lebih RM27 bilion kepada rakyat B40 Malaysia serta RM23 bilion kepada perniagaan mikro dan kecil dalam tempoh lima tahun yang lalu. 

 

 

“Selain pinjaman, kami juga telah menjalankan program pendidikan dan pemerkasaan seperti SME Biz Ready untuk perusahaan mikro serta untuk pelanggan B40 kami dan bekerjasama rapat dengan majikan pelanggan untuk bersama-sama menjalankan program tersebut. 

 

“Kami juga telah mempertingkatkan pelbagai langkah untuk melindungi pelanggan kami dengan lebih baik daripada penipuan dan bentuk penipuan lain,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Kempen Kita Bagi Jadi, di sini, hari ini.

 

CIMB
Gurdip Singh Sidhu

 

Gurdip Singh berkata, kumpulan itu juga mempunyai produk runcit utama, CIMB Eco-save i oleh CIMB Islamic dengan memperuntukkan peratusan dana kepada pelbagai inisiatif yang membantu masyarakat secara amnya. 

 

“Kami telah menyalurkan lebih RM7 juta dalam tempoh tiga tahun terakhir kepada usaha pemuliharaan hutan, sungai dan tanah lembap seperti pemuliharaan Kompleks Hutan Fraser’s Hill, memulihkan bahagian-bahagian Sungai Batu dan melindungi Tanah Lembap Setiu di Terengganu. 

 

“Sebagai sebahagian daripada komitmen program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami untuk menyumbang RM150 juta dalam tempoh lima tahun, dengan pelbagai inisiatif dalam bidang sukan, pendidikan, seni, pemerkasaan, dan alam sekitar," katanya.

 

Sementara itu, CIMB komited untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan golongan muda Malaysia dan kini telah bekerjasama dengan Orkestra Belia Filharmonik Malaysia (MPYO).

 

Menerusi perjanjian selama setahun itu, CIMB dan MyCreative Ventures akan menjadi rakan kongsi kepada MPYO.

 

“Sebagai penyokong utama kewangan inklusif, kumpulan kami terus komited untuk memainkan peranannya sebagai warganegara korporat yang bertanggungjawab. 

 

“Melalui Kita Bagi Jadi, kami berharap untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama yang akan memberi manfaat kepada pelanggan dan masyarakat,” katanya. 

 

Sementara itu, Duta CIMB, Datuk Azizulhasni Awang berkata, program itu sememangnya membawa makna besar kepada dunia sukan kini ia sedang diperluaskan jangkauannya meliputi beberapa bidang lain.

 

"Saya berharap program ini akan membantu lebih ramai atlet mudah dalam khususnya dalam sukan berbasikal kerana sukan itu sedang mengalamai fasa peralihan ketika ini," katanya yang sudah bersama CIMB sejak 2018.

 

Antara atlet lain yang berada di bawah naungan CIMB termasuk bintang skuasy negara, S. Sivasangari serta atlet golf negara, Ervin Chang. - DagangNews.com