KUALA LUMPUR 7 Dis - CIMB Bank Berhad melancarkan Program Perbendaharaan Berkaitan Kemampanan baharu bersama Farm Fresh Berhad dan Sunway Berhad, sebagai pelanggan perintisnya.
Ia merupakan yang pertama dalam siri baharu tawaran produk Perbendaharaan yang ditawarkan CIMB yang membolehkan pelanggan menetapkan aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam penyelesaian pengurusan risiko.
Program itu merangkumi transaksi aliran berulang untuk kitaran penukaran aktiviti perniagaan pelanggan serta lindung nilai kunci kira-kira yang lebih baik.
Untuk menerima rebat berkaitan kemampanan, program itu memerlukan komitmen berterusan daripada pelanggan untuk mencapai prestasi kemampanan mereka.
Program itu diukur melalui Sasaran Prestasi Kemampanan (SPT) yang unik untuk setiap profil perniagaan pelanggan dan tertakluk kepada pengesahan pihak ketiga bebas yang ketat.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan dan Bendahari Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, dengan menggabungkan kedudukan sebagai peneraju pasaran perbendaharaan dan kewangan mampan, pihaknya berbangga untuk menempuh perjalanan bersama pelanggan kami daripada transaksi ke dalam program aliran perniagaan seperti biasa.
"Program ini akan membawa CIMB lebih dekat untuk mencapai sasaran kewangannya yang mampan dan mewujudkan impak positif, didorong Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial, Lestari (GSSIPS) kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, pihaknya berbesar hati keranan menjadi sebahagian daripada inovasi dalam ruang penyelesaian perbendaharaan Malaysia sebagai pelanggan perintis untuk menyertai Program Perbendaharaan Berkaitan Kemampanan CIMB yang baharu.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway Berhad, Chong Chang Choong berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi yang pertama menerima manfaat daripada Program Perbendaharaan Berkaitan Kemampanan CIMB dan memainkan peranan peneraju pasaran dalam memajukan inovasi dalam pasaran modal tempatan.
"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, ia adalah selaras dengan tanggungjawab kami kepada seluruh pihak berkepentingan melalui komitmen kami untuk memajukan ESG dalam ruang korporat," katanya.
Sepanjang dua tahun yang lalu, CIMB telah melaksanakan beberapa urus niaga pembiayaan mampan yang ketara termasuk derivatif berkaitan kemampanan pada Oktober 2021, transaksi SLD dalam denominasi Ringgit Malaysia pertama di dunia dan terbesar di Asia mengikut nilai nosional.
Terbaru, kumpulan menaikkan sasaran kewangan mampannya kepada RM60 bilion selepas mencapai sasaran asalnya sebanyak RM30 bilion dua tahun lebih awal daripada jadual. - DagangNews.com