CIMB lanjut pelepasan pinjaman, luluskan 165,000 permohonan | DagangNews Skip to main content

CIMB lanjut pelepasan pinjaman, luluskan 165,000 permohonan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - CIMB yang merangkumi CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad melanjutkan program-program bantuan pelepasan kewangan untuk semua pelanggannya yang terjejas. 

 

Perkara itu diumumkan oleh bank berkenaan sejajar pelaksanaan pakej rangsangan baharu, Pemerkasa Plus.

 

Menurut CIMB lagi, peminjam yang terjejas hanya perlu memilih program pelepasan kewangan yang ditawarkan dengan kelulusan automatik, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.

 

“Di samping itu, pelanggan individu yang mengalami penyusutan dalam pendapatan juga boleh menerima manfaat daripada pembayaran ansuran bulanan yang dikurangkan, dan semua peminjam yang terjejas boleh menghubungi bank bagi penyelesaian penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan. 

 

“Program bantuan bayaran balik yang terkini bertujuan menyediakan bantuan berterusan kepada peminjam individu dan B40, perusahaan mikro serta peminjam lain yang terjejas selain membantu mengurangkan beban aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak boleh beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” jelas bank itu dalam satu kenyataan. 

 

Sejajar penguatkuasaan ‘lockdown’ bermula 1 hingga 14 Jun depan, mereka yang layak bagi bantuan berkenaan adalah termasuk mana-mana pelanggan yang hilang pekerjaan dan pelanggan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

 

Selain itu, turut disasarkan buat perusahaan mikro dengan pinjaman melebihi RM150,000 serta PKS yang tidak dibenarkan beroperasi semasa ‘lockdown’

 

Kesemua kategori peminjam itu dibenarkan untuk memilih moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan sebanyak 50% bagi tempoh enam bulan.

 

Baca : Pemerkasa Plus umum moratorium segera hingga RM30 bilion

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa mereka akan kekal komited untuk menawarkan sokongan ketika tempoh mencabar ini. 

 

Datuk Abdul Rahman Ahmad
Abdul Rahman Ahmad

 

“Bantuan pelepasan kewangan yang dilanjutkan, untuk pelanggan terjejas adalah untuk membantu mereka kekal mampan ekoran cabaran yang masih berpanjangan ini. 

 

“Kami telah memastikan prosesnya adalah senang dan mudah untuk pelanggan yang memilih sebuah program pelepasan bayaran, bersesuaian dengan mereka,” katanya menerusi kenyataan sama. 

 

Setakat penghujung Mei 2021, CIMB telah memproses sekitar 165,000 permohonan pelepasan kewangan untuk peminjam individu dan perniagaan di Malaysia. 

 

Ini melibatkan nilai RM22 bilion dengan kadar kelulusan 100% secara maya.

 

Bank itu menggesa mana-mana pelanggan terkesan untuk segera menghubunginya dan dijamin status Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) mereka tidak akan terjejas.

 

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Talian CIMB di +603 6204 7788 atau e-mel covidcare@cimb.com.  

 

Pelanggan PKS pula boleh menghubungi Pusat Talian Perniagaan CIMB di 1300 888 828 (tempatan) dan +603 2297 3000 (luar negara) bermula Isnin hingga Jumaat, pada jam 7 pagi hingga 7 malam dan Sabtu pula bermula 8 pagi hingga 5 petang. - DagangNews.com