CIMB MicroBizReady bantu pertumbuhan perniagaan PKS mikro | DagangNews Skip to main content

CIMB MicroBizReady bantu pertumbuhan perniagaan PKS mikro

CIMB MicroBizReady

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Program MicroBizReady yang diperkenalkan oleh CIMB Bank Berhad (CIMB) dan CIMB Islamic Bank Berhad dapat membantu dan membimbing PKS mikro untuk terus berkembang maju.

 

Program yang berbentuk bengkel itu menawarkan bimbingan pendidikan jangka panjang dan tidak hanya menumpukan kepada persekitaran mencabar akibat COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, pihaknya gembira dapat menjadi sebahagian kepada fasa pertumbuhan awal perniagaan kecil tempatan khususnya dalam iklim ekonomi semasa.

 

"Sejajar dengan konsep Pengantaraan berasasas nilai Bank Negara Malaysia (BNM), MicroBizReady dicipta khusus untuk mengembangkan program keusahawanan yang berterusan untuk ekonomi kita.

 

"PKS membentuk segmen perniagaan terbesar di Malaysia dan kita perlu memastikan perniagaan mereka bertahan dan kekal relevan di pasaran Malaysia yang kompetitif.

 

"Kami berharap latihan dan sokongan yang diberikan dapat membantu mereka menuju masa hadapan yang lebih cerah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

CIMB MicroBizReady dihoskan oleh salah sebuah institusi pendidikan swasta tertua iaitu Taylor's Education Group (Tailor's).

 

Bengkel selama tiga hari itu memanfaatkan seramai 30 PKS mikro dalam industri makanan dan minuman, katering, runcit, dan perkhidmatan.

 

Program tersebut turut meliputi Pembiayaan 101, bagaimana PKS dapat meningkatkan kredit dan pendigitalan untuk membina laman web e-dagang, berada di puncak carian teknologi, mengoptimumkan logistik e-dagang dan lain-lain lagi.

 

Bagi menjadikan usahawan lebih berdaya saing, peserta juga diberi latihan berkaitan strategi jenama, strategi perniagaan dan penerokaan model perniagaan baharu untuk meningkatkan aliran tunai dan pengurusan krisis.

 

Sepanjang program itu berlangsung, peserta juga didedahkan mengenai potensi sektor perniagaan halal Malaysia.

 

Graduan dari program tersebut diberi peluang akses kepada rundingan oleh mentor program masing-masing untuk memastikan perniagaan berada di landasan yang betul.

 

Setelah selesai menjalani sesi MicroBizReady, 25 daripada 30 peserta telah berjaya membina laman web e-dagang sendiri di bawah bimbingan Shopmatic.

 

CIMB juga menyampaikan baucer tunai hingga RM3,000 dan langganan selama 3 bulan untuk alatan e-dagang Shopmatic kepada pemanang cabaran pembangunan laman web yang dijalankan dalam program berkenaan.

 

CIMB turut meletakkan sasaran untuk menjangkau sekurang-kurangnya 150 PKS mikro pada tahun 2021 yang akan menerima manfaat daripada program sama. - DagangNews.com