CIMB rangkul 9 anugerah daripada Islamic Finance News 2022 | DagangNews Skip to main content

CIMB rangkul 9 anugerah daripada Islamic Finance News 2022

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - CIMB Islamic Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd Bersama Unit Usaha Syariah PT Bank CIMB Niaga TBK telah meraih sembilan anugerah daripada Islamic Finance News (IFN).

 

Menurut kenyataan CIMB hari ini, pengiktirafan itu diperoleh menerusi dua majlis anugerah anjuran IFN, Tinjauan Bank Terbaik IFN 2022 dan Tawaran Terbaik IFN 2022.

 

Pencapaian itu merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut CIMB Islamic sebagai Bank Islam Terbaik di Malaysia dan kemenangan sulung CIMB Niaga Syariah sebagai Bank Islam Terbaik di Indonesia.

 

Anugerah Tinjauan Bank Terbaik IFN mengiktiraf penyedia perkhidmatan kewangan Islam terbaik merentas beberapa siri pasaran dan sektor melalui undian pembaca Berita Kewangan Islam, manakala Tawaran Terbaik IFN dianugerahkan kepada urus niaga terhebat dalam industri setiap tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya berbesar hati dipilih dalam Tinjauan Bank Terbaik IFN 2022 sebagai peneraju pasaran perbankan dan kewangan untuk perbankan Islam, perbankan pelaburan dan perbankan korporat di Malaysia dan Indonesia yang merupakan dua daripada pasaran utama CIMB.

 

 

Ahmad Shahriman Mohd Shariff
Ahmad Shahriman Mohd Shariff

 

 

Sementara itu, Tawaran Terbaik IFN 2022 mengiktiraf sumbangan cemerlang CIMB kepada pasaran kewangan Islam dan perbankan pelaburan, tambahnya.

 

CIMB Islamic Bank meraih anugerah Tawaran Ekuiti dan Tawaran Awam Permulaan (IPO) dengan penyenaraian Farm Fresh Bhd di pasaran utama Bursa Malaysia yang bernilai RM1.1 bilion, disokong oleh 30 pelabur asas, bilangan asas tertinggi dalam IPO Malaysia setakat ini.

 

“Pencapaian ini mampu dilakukan dengan ilmu pengetahuan industri yang mendalam pasukan kami dan komitmen meneruskan kecemerlangan, inovasi dan menyesuaikan pembiayaan pelanggan mengikut keperluan mereka.

 

"Kami berterima kasih kepada pelanggan di atas sokongan dan kami terus berusaha merealisasikan pelan strategik Forward23+ untuk menjadi bank ASEAN terkemuka,” tambahnya. -DagangNews.com