CIMB selesai ambil alih KAF Equities, dijenamakan sebagai CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

CIMB selesai ambil alih KAF Equities, dijenamakan sebagai CIMB Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - CIMB Group Holdings Berhad telah menyelesaikan pengambilalihan KAF Equities Sdn Bhd menerusi bank pelaburannya, CIMB Investment Bank Berhad dan dijenamakan semula sebagai CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi bank tersebut untuk mengembangkan keupayaan dalaman, yang melengkapkan perniagaan Perbankan Borong kumpulan di Malaysia.

 

CIMB Securities akan menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan ekuiti dan melengkapkan produk lain dalam francais Perbankan Borong merangkumi pembiayaan, pengurusan tunai, perbendaharaan dan pasaran serta nasihat perbankan pelaburan.

 

Ia akan menggabungkan pasukan penyelidikan dan jualan tempatan yang berpengalaman dan mendalam, dengan perkongsian serantau dan global, untuk menyediakan kandungan global dan cadangan nilai kepada pelanggan CIMB. Tawaran ini akan diberikan kepada pelanggan institusi dan korporat berkuat kuasa serta-merta.

 

 

KAF

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad menyatakan bahawa kumpulan itu akan melancarkan tawaran Perbankan Borong secara berperingkat, bermula dengan pelanggan borong dan mengembangkan tawaran pada masa hadapan.

 

“Kami akan melabur dalam teknologi berkesan yang melengkapkan visi kami untuk CIMB Securities menjadi firma pembrokeran termaju, sambil kami mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam pasaran modal Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Abdul Rahman berkata, pengambilalihan firma itu sejajar dengan Pelan Strategik Forward23+ kumpulan itu dalam membentuk semula portfolio untuk memberi tumpuan kepada pasaran dan segmen utama, sekali gus mempelbagaikan kedudukan CIMB untuk menjadi bank terkemuka ASEAN.

 

“Kumpulan CIMB akan terus meneroka dan menilai peluang strategik untuk mengukuhkan francais kami dan memberikan nilai kepada pemegang saham,” tambahnya.

 

CIMB Securities akan diterajui oleh Ruzi Rani Ajith sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, yang akan melaporkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong CIMB Group, Novan Amirudin.

 

Pengambilalihan ini susulan pengumuman CIMB yang menyelesaikan pelupusan baki kepentingan dalam usaha sama pembrokeran sahamnya, CGS-CIMB kepada CGS International Holdings Limited pada Disember 2023.

 

Kerjasama dengan CGS dalam perniagaan runcit dan kekayaan kekal dilaksanakan untuk membantu perkhidmatan yang berterusan dan lancar untuk pelanggan individu. - DagangNews.com