CIMB tawarkan rumusan kewangan EV paling komprehensif di pasaran untuk pacu penggunaan kenderaan EV | DagangNews Skip to main content

CIMB tawarkan rumusan kewangan EV paling komprehensif di pasaran untuk pacu penggunaan kenderaan EV

Dari kiri, Daniel Cheong, Zainal Abidin dan Effendy Shahul Hamid pada acara pelancaran rumusan kewangan kenderaan elektrik (EV) di Pameran Auto Malaysia 2023 pada 7 Mei 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Mei - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad memperkenalkan rangkaian rumusan kewangan kenderaan elektrik (EV) yang paling komprehensif di pasaran untuk memacu penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

 

Dilancarkan di Pameran Auto Malaysia 2023 anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), rumusan EV CIMB memenuhi keperluan pengguna dalam setiap aspek pemilikan kenderaan elektrik, termasuk pembiayaan, perlindungan insurans, dan manfaat istimewa yang eksklusif.

 

Demi memangkin peralihan ke arah mobiliti lestari, rumusan kewangan ini membolehkan pengguna untuk membeli dan memiliki kenderaan elektrik dengan yakin kerana mereka mempunyai akses kepada pelbagai manfaat tambahan yang unik sebagai pelanggan CIMB.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan, CIMB, Effendy Shahul Hamid berkata, "Kami berbesar hati untuk menawarkan rangkaian rumusan kewangan yang paling lengkap di pasaran hari ini. Rumusan peneraju pasaran ini dapat memberikan nilai tambah yang lebih besar dengan menjadikan pemilikan EV lebih mudah, bermanfaat dan penuh ganjaran untuk para pelanggan.”

 

“Kami akan terus menawarkan rumusan kewangan lestari yang inovatif untuk menggalakkan rakyat Malaysia mempertimbangkan gaya hidup yang lebih mampan, serta bekerjasama dalam usaha mencapai aspirasi Sifar Bersih negara,” tambahnya.

 

Yang turut hadir pada acara tersebut ialah Ketua Perbankan Pengguna Malaysia, CIMB, Daniel Cheong dan penyanyi terkemuka Datuk Zainal Abidin.

 

Mulai kini sehingga 30 April 2024*, pelanggan CIMB akan menikmati manfaat pembiayaan, insurans dan pelbagai lagi. Ini termasuk kadar tetap pembiayaan EV serendah 1.98% setahun, dan sehingga 90% margin pembiayaan dengan tempoh pembayaran sehingga 9 tahun.

 

Bank juga menyediakan ‘laluan hijau' untuk kelulusan pembiayaan pantas dalam masa 8 jam.

 

Selain pembiayaan, CIMB dan rakan kerjasama bankansurans, Berjaya Sompo Insurance Berhad, telah berganding bahu untuk menawarkan nilai tambah yang lebih besar, serta pelbagai manfaat EV percuma yang tersedia buat kali pertama di pasaran.

 

Dirangka khas untuk pelanggan CIMB yang melanggan insurans Motor Secure dengan Berjaya Sompo melalui Pusat Kewangan CIMB Auto, manfaat yang sedia ada boleh digunakan untuk EV baharu dan terpakai selama tempoh lapan tahun.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, pelanggan CIMB juga akan menikmati diskaun 5% kadar premium untuk EV, serta rebat tunai 10% pada premium.

 

Selain itu, pemilik EV juga akan mendapat perlindungan lengkap percuma yang eksklusif untuk pelanggan CIMB. Ini termasuk perlindungan pengecas dinding rumah EV sehingga RM15,000 yang meliputi kejadian seperti kebakaran, pencurian, petir, letupan, dan banjir, serta RM50,000 dalam perlindungan liabiliti peribadi untuk kemalangan ketika menggunakan pengecas kereta elektrik.

 

Perlindungan ini termasuk perkhidmatan tundaan tidak terhad ke stesen pengecas EV yang terdekat.

 

Sebagai tambahan, CIMB juga menawarkan tag RFID Touch 'n Go percuma bagi pelanggan yang mengambil Pembiayaan EV dengan CIMB.

 

Pada masa yang sama, pelanggan CIMB boleh menikmati Pelan Pembayaran Flexi 0% selama 12 bulan apabila mereka membeli pengecas dinding rumah EV dari pengedar kenderaan menggunakan Kad Kredit CIMB yang terpilih.

 

Dengan ketersediaan model EV dan infrastruktur di pasaran yang kian pesat, ditambah dengan lanjutan insentif dan pengecualian cukai EV di Malaysia, CIMB menjangkakan pertumbuhan permintaan yang tinggi untuk pembiayaan EV.

 

CIMB telah mencatat pertumbuhan pembiayaan kenderaan hijau tahun ke tahun yang tinggi sebanyak 350% pada tahun 2022, dan berhasrat untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam segmen ini sebagai sebahagian daripada komitmen kewangan lestarinya.

 

CIMB juga menyasar untuk menggerakkan RM60 bilion dalam Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial, Lestari (GSSIPS) di seluruh pasarannya menjelang 2024.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif EV, CIMB baru-baru ini telah menyediakan stesen pengecas EV pertamanya di cawangan CIMB Preferred di Plaza Damansara. CIMB akan menambahkan lebih banyak stesen pengecas EV untuk kemudahan pelanggannya dalam masa yang terdekat.

 

Dengan kesedaran dan minat yang semakin meningkat dalam ESG dikalangan pengguna, CIMB merupakan bank pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap penyelesaian kewangan lestari yang membolehkan pengguna untuk memupuk amalan lestari dengan lebih mudah dan penuh ganjaran.

 

Selain pembiayaan lestari untuk rumah atau kenderaan, ini juga termasuk tawaran yang sejajar dengan nilai ESG seperti produk yang menggalakkan kewangan inklusif, produk pengurusan kekayaan serta produk deposit yang berfokuskan alam sekitar. - DagangNews.com