Citaglobal keluar daripada perniagaan perlombongan bauksit dengan harga RM4.8 juta | DagangNews Skip to main content

Citaglobal keluar daripada perniagaan perlombongan bauksit dengan harga RM4.8 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - Citaglobal Berhad (dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Berhad) melupuskan 49% pegangannya dalam syarikat perlombongan bauksit SE Satu Sdn. Bhd. (SE Satu) dengan harga RM4.8 juta dan keluar dari perniagaan perlombongan bauksit.

 

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Citaglobal melalui anak syarikat milik penuhnya, Sinergi Dayang Sdn. Bhd. akan mengambilalih sebidang tanah pegangan bebas seluas 31.31 hektar di Sungai Karang, Pahang dengan harga RM10.08 juta. 

 

Tanah itu mempunyai nilai buku teraudit RM13.44 juta pada 31 Disember 2021.

 

Secara umumnya, tanah itu terletak di sekitar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan Citaglobal berhasrat untuk menggunakan bagi pelaksanaan projek pengeluar tenaga bebas (IPP) ECRL.

 

Terdahulu, Citaglobal dan rakan konsortiumnya Reneuco Berhad (dahulunya dikenali sebagai KPower Berhad) bersama-sama menerima Surat Hasrat untuk menjadi pengeluar tenaga bebas bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.

 

Konsortium akan bertanggungjawab ke atas perancangan, reka bentuk, pembiayaan, pembangunan, pembinaan, pemasangan, penyiapan, pentauliahan dan pengendalian projek IPP ECRL.

 

norza
Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria 

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden serta pemegang saham utama Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, bukan sahaja lokasinya berhampiran dengan projek ECRL, ia juga mempunyai komposisi serta keperluan yang sesuai untuk menempatkan tenaga boleh diperbaharui.

 

“Tambahan pula, melupuskan perniagaan perlombongan bauksit adalah sejajar dengan visi Citaglobal untuk keluar daripada perniagaan warisan kami kerana kami berharap untuk mengambil bahagian dalam sektor yang dipacu teknologi. 

 

"Citaglobal hari ini dalam pusingan akhir proses pembersihan perniagaan warisannya,” katanya.

 

Perjanjian itu yang melibatkan pelupusan 49% pegangan dalam SE Satu dan pengambilalihan tanah Sungai Karang pada harga RM10.08 juta akan menyaksikan Citaglobal secara efektif membayar RM5.28 juta kepada Spring Energy Sdn. Bhd. (SESB).

 

SESB akan kembali memiliki 100% kepentingan dalam SE Satu. Pengarah SESB ialah Datuk Yap Soon Huat, Yap Yee Huat, Yap Chai Huat dan Yap Ho Huat. SESB ialah anak syarikat milik penuh Spring Energy Resources Bhd.

 

Kedua-dua pertimbangan pelupusan 49% kepentingan dalam SESB, dan pertimbangan pengambilan tanah sebanyak RM10.08 juta, juga adalah berdasarkan "pembeli rela penjual sanggup".

 

Berdasarkan penyata kewangan disatukan teraudit terkini Citaglobal bagi tahun kewangannya berakhir 31 Disember 2021, dan dengan mengandaikan cadangan pelupusan itu telah dilaksanakan pada 31 Disember 2021, kumpulan itu dijangka memperoleh keuntungan bersih daripada penjualan kira-kira RM2.01 juta, yang mewakili pendapatan sesaham kira-kira 0.3 sen, berdasarkan bilangan purata wajaran sebanyak 663.95 juta saham. - DagangNews.com