KUALA LUMPUR 2 Sept.- Syarikat Media Prima Berhad (Media Prima) berjaya memiliki sepenuhnya segmen beli-belah di rumah, CJ Wow Shop selepas mengambil alih pemegangan saham sebanyak 49% dalam MP CJ ENM Sdn. Bhd. (MP CJ ENM) daripada syarikat Korea Selatan, CJ ENM Co Ltd (CJ (ENM).
Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan transformasi kumpulan Media Prima untuk mewujudkan jaringan prospek yang lebih kukuh dalam industri beli-belah dan e-dagang di rumah.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, CJ Wow Shop akan terus menjadi salah satu segmen pertumbuhan utama bagi kumpulannya.
"Kami yakin dengan pengetahuan kritikal dan selok-belok perniagaan telah dicapai sepenuhnya untuk pertumbuhan kumpulan.
"Dan berdasarkan kepada prestasi pada tahun sebelumnya dan beberapa bulan terakhir ini, kami yakin dengan potensi yang ada dalam segmen ini," katanya dalam satu kenyataan.
Media Prima telah menjalinkan kerjasama dengan CJ ENM sejak Februari 2016 sebagai strategi kumpulannya untuk mengembangkan segmen perdagangan.
CJ Wow Shop berjaya mencapai penguasaan pasaran sebanyak 35% jumlah tontonan yang menjadi pendorong kepada kejayaan segmen berkenaan.
Sejak beroperasi, CJ Wow Shop mula berkembang dengan pencapaian lebih daripada dua juta pelanggan berdaftar dalam tempoh empat tahun.
Tambah beliau, dengan pengambilalihan itu juga, Media Prima akan terus menjalin kerjasama dengan CJ ENM khususnya dalam segmen hiburan yang mengfokuskan kepada pengeluaran kandungan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MP CJ ENM, Yang Hyun Kim berkata, CJ Wow Shop adalah satu jenama yang berjaya sejak ditubuhkan empat tahun lalu dengan penampilan yang kuat di platform penyiaran dan digital. - DagangNews.com