KUCHING 6 Sept – Novartis Malaysia, bersama Clinical Research Malaysia (CRM), mencapai kejayaan kerjasama baharu hari ini dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjadikan Hospital Umum Sarawak (SGH) sebagai tapak percubaan klinikal pilihan utama untuk menjalankan ujian tajaan Novartis di Malaysia.
MOU ini dibentuk berdasarkan akreditasi SGH pada 2019 di bawah Program Pemeriksaan & Akreditasi Unit Fasa 1 Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan yang membolehkannya menjalankan kajian fasa awal tersebut.
Sebagai pusat kecemerlangan untuk ujian klinikal, SGH kini dapat menyediakan pesakit akses kepada terapi dan rawatan inovatif yang mungkin tidak dapat dicapai. Semasa ujian, mereka akan dipantau rapi oleh pasukan profesional penjagaan kesihatan.
Sekiranya pesakit bertindak balas dengan baik terhadap rawatan, ia akan membolehkan mereka menjalani kualiti hidup lebih baik. Tambahan pula, kemudahan di Sarawak ini bakal menarik lebih ramai pakar dan bakat ke negeri ini, yang akan menangani jurang kesaksamaan kesihatan di Malaysia Timur.
Selain itu, pemeteraian MoU ini berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan mahir baharu dalam sains hayat, dan menarik pelaburan lain dalam kajian klinikal.
Dengan peningkatan bilangan kajian yang dijalankan di Malaysia, ini seterusnya akan mendorong negara untuk memperoleh reputasi sebagai hab serantau yang terkemuka untuk ujian klinikal dalam industri farmaseutikal.
Presiden Negara Novartis Malaysia, Elwakil Mohamed berkata, sebagai sebahagian daripada tujuan pihaknya adalah untuk mengimaginasi semula perubatan untuk menambah baik dan memanjangkan hayat rakyat, Novartis Malaysia telah menyokong dalam mengukuhkan penjagaan kesihatan negara, khususnya dalam bidang penyelidikan dan ujian klinikal.
Pada 2020 ujar beliau, Novartis melabur dalam 38 ujian klinikal (CT) dalam kardio-metabolik, pernafasan, kanser payudara dan oftalmologi dan kira-kira 194 pesakit tempatan telah didaftarkan dalam CT ini.
“Antara 2015 dan 2021, Novartis membawa masuk 68 penyelidikan tajaan, sekali gus menjadikannya penyumbang utama ujian klinikal oleh syarikat farmaseutikal multinasional di negara ini dan sebagai rakan kongsi berharga kepada Kementerian Kesihatan.
“Perkongsian ini merupakan peristiwa penting bagi Novartis Malaysia dalam meningkatkan jejak penyelidikan kami di Malaysia.
“Perkongsian dengan CRM ini, bagi pihak SGH, akan mewujudkan platform untuk meningkatkan keupayaan tempatan, meningkatkan kualiti percubaan klinikal, dan meningkatkan akses kepada rawatan transformatif di negara ini,’’ katanya.
Dalam ucaptama pada majlis MoU itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, MoU ini merupakan pencapaian penting selain saya memindahkan Malaysia daripada penjagaan sakit kepada penjagaan kesihatan, menjadikannya hab terkemuka daripada segi penyelidikan klinikal dan ujian klinikal di Asia Tenggara.
Paling penting kata beliau, dengan kemasukan fasa awal percubaan klinikal di negara ini, rakyat Malaysia akan dapat mengakses terapi dan rawatan inovatif yang mungkin tidak dapat dicapai.
“Melalui MoU ini, SGH kini akan menjadi tapak pilihan dan pusat kecemerlangan di Malaysia. Daripada perspektif bakat dan nilai, ia akan menarik lebih ramai pakar dan bakat ke negeri ini, yang boleh menyumbang kepada ekonominya dan menangani keperluan yang tidak dipenuhi.”
Beliau bersama Profesor Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan & Kerajaan Tempatan Sarawak; Dr Ooi Choo Huck, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak dan Dr Ngien Hie Ung, Pengarah Hospital Umum Sarawak hadir sebagai tetamu kehormat menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu.
Mewakili Novartis Malaysia dalam acara menandatangani dan pertukaran dokumen ialah Mohamed ElWakil; Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan Klinikal Malaysia, Dr Akhmal Yusof, dan Pengarah Hospital SGH, Dr Ngien Hie Ung. – DagangNews.com