CMS dijangka rekod prestasi lebih baik suku keempat - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

CMS dijangka rekod prestasi lebih baik suku keempat - Maybank IB

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Cahya Mata Sarawak (CMS) Bhd. dijangka merekodkan prestasi yang lebih baik pada suku keempat 2020 apabila syarikat kembali beroperasi setelah 2 bulan terhenti akibat penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, CMS mencatat untung bersih sebanyak RM46.71 juta, melonjak 180% berbanding RM16.71 juta bagi suku sebelumnya. 

 

Pada suku berkenaan juga, pendapatannya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM428.42 juta berbanding RM206.84 juta pada suku kedua apabila syarikat kembali beroperasi sepenuhnya dengan perniagaan teras menunjukkan peningkatan. 

 

CMS merupakan satu-satunya pengeluar simen dan pembekal bahan pembinaan terbesar di Sarawak. 

 

Setakat ini, segmen pengeluaran simen menyumbang 26% kepada perolehan syarikat manakala bahan binaan pula, 33%. 

Maybank IB Research
Segmen perniagaan Cahya Mata Sarawak 

 

Maybank IB Research berkata, segmen pengeluaran simen syarikat akan meneruskan inisiatif pengoptimuman pengeluaran dan kawalan kos, dengan harga klinker dijangka terus tertekan ekoran permintaan global yang rendah. 

 

"Bagi bahan pembinaan pula, permintaan agregat dan premix yang baik pada suku ketiga akan berterusan pada suku berikutnya," katanya dalam nota kajian. 

 

Di samping itu, bagi segmen pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang menyumbang 15% kepada perolehan syarikat, CMS akan meneruskan bidaan bagi projek baharu di Sarawak. 

 

"Ini termasuklah bagi projek rangkaian jalan pesisir dan utama yang boleh meningkatkan nilai projek syarikat kepada RM1.11 bilion setakat 30 September (kecuali jalan konsesi)," katanya. 

 

Namun, menurut firma itu, segmen perumahan CMS akan kekal mencabar terutama projek Samalaju Industrial Park. 

 

Dalam kenyataan kelmarin, Pengarah Urusan CMS Group, Datuk Isaac Lugun berkata, pendapatan dan keuntungan syarikat menunjukkan peningkatan ketara pada suku ketiga selepas aktiviti kembali beroperasi sepenuhnya dan merekodkan peningkatan dalam semua perniagaan teras berbanding suku kedua. 

 

"Kami gembira kerana strategi penambahbaikan memberikan hasil seperti yang ditunjukkan dalam prestasi kewangan ini," katanya. - DagangNews.com