CMS gantung tugas CFO selama 30 hari | DagangNews Skip to main content

CMS gantung tugas CFO selama 30 hari


 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) mengumumkan tindakan menggantung tugas ketua pegawai kewangan kumpulannya, Syed Hizam Alsagoff selama 30 hari, berkuatkuasa serta-merta.

 

Tindakan menggantung tugas tersebut adalah bagi membantu siasatan terhadap dakwaan kemungkinan salah urus kewangan berkaitan operasi dan pelaburan syarikat, kata CMS dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

 

cms
         Syed Hizam Alsagoff

 

Pada 22 April lalu, Timbalan Pengerusi Kumpulan CMS Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dilaporkan mengambil cuti daripada semua kedudukannya di dalam kumpulan, susulan siasatan terhadap dakwaan wujudnya konflik kepentingan membabitkan diri beliau dengan bekas ketua pegawai maklumat CMS, Karl Vink @ Khalid Abdullah.

 

BACA : Timbalan Pengerusi CMS ambil cuti bantu siasatan dakwaan konflik kepentingan

 

Lembaga Pengarah CMS sudah melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai dakwaan konflik kepentingan membabitkan Mahmud Abu Bekir dan Karl Vink, dan menyatakan bahawa tuduhan itu diterima menerusi saluran pemberi maklumat (whistleblower) kumpulan.

 

cms
            Mahmud Abu Bekir

 

Semalam ketika dagangan Bursa Malaysia ditutup, saham CMS susut lima sen atau 2.4% lebih rendah pada RM2.03, meletakkan nilai kumpulan itu sebanyak RM2.18 bilion. Sejak setahun ini, saham CMS telah mencatat kenaikan sebanyak 49.3% daripada RM1.36 sesaham. - DagangNews.com