Cnergenz catat perolehan RM76.58 juta bagi 2QFY2022, hasil penjualan mantap SMT | DagangNews Skip to main content

Cnergenz catat perolehan RM76.58 juta bagi 2QFY2022, hasil penjualan mantap SMT

Cnergenz memberi perkhidmatan terutamanya kepada syarikat elektronik dan semikonduktor yang menjalankan pemasangan produk pembungkusan semikonduktor termaju serta pemasangan dan ujian pemasangan papan litar bercetak PCBA.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PULAU PINANG 17 Ogos – Cnergenz Berhad, penyedia penyelesaian pembuatan elektronik yang berpangkalan di Pulau Pinang, mencatatkan perolehan sebanyak RM76.58 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY2022) atas jualan yang lebih tinggi bagi mesin teknologi pelekap permukaan kendiri (SMT) dan penyediaan penyelesaian bersepadu berikutan permintaan berterusan daripada aktiviti pembuatan dalam industri elektronik dan semikonduktor (Industri E&S).

 

Secara kumulatif, Cnergenz mencatatkan perolehan sebanyak RM113.48 juta dan keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM12.94 juta untuk tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2022.

 

Pada asas segmen, jualan mesin dan peralatan SMT kendiri menyumbang 51.03% daripada jumlah hasil manakala penyediaan penyelesaian bersepadu menyumbang 44.85% untuk 2QFY2022.

 

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat untuk 2QFY2022 telah meningkat dua kali ganda kepada RM12.35 juta berbanding PBT sebelum suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (1QFY2022) sebanyak RM4.87 juta.

 

Ini menyebabkan syarikat merekodkan PAT sebanyak RM9.30 juta untuk 2QFY2022, yang menunjukkan peningkatan berbanding RM3.64 juta yang dicatatkan pada 1QFY2022 sebelum ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Cnergenz, Lye Yhin Choy berkata, syarikat terus melihat aliran masuk yang stabil pada suku baru-baru ini untuk penyelesaian bersepadu dan mesin dan peralatan SMT kendiri di pasaran Malaysia, Thailand dan Vietnam tempat syarikat beroperasi walaupun halangan global yang dihadapi oleh sektor teknologi.

 

Ini kata beliau, disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur di negara-negara ini yang telah menyumbang kepada peningkatan jualan dan pertanyaan baharu untuk produk dan penyelesaian syarikat.

 

"Kami percaya bahawa aliran masuk pesanan akan terus mengikuti peningkatan global baru-baru ini dalam jualan semikonduktor, terutamanya pada suku kedua 2022, ditambah dengan permintaan berterusan untuk penyelesaian dan produk kami dalam kalangan pemain industri dalam Industri E&S," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

LYE YHIN CHOY
             Lye Yhin Choy

 


Bahagian operasi pula kata Lye, syarikat berada di peringkat akhir rundingan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk pemerolehan sebidang tanah perindustrian di Pulau Pinang.

 

"Selepas pengambilalihan itu dimuktamadkan, kami berhasrat untuk memulakan pembinaan kemudahan baharu kami dengan menyalurkan hasil tawaran awam permulaan (IPO) kami, yang akan membolehkan kami meningkatkan operasi dan membangunkan serta memasarkan rangkaian tawaran penyelesaian pembuatan kami yang lebih luas."

 

Setakat ini, Cnergenze telah memperoleh pesanan pembelian berjumlah RM72.60 juta, yang mana RM61.16 juta dijangka akan dipenuhi menjelang akhir tahun 2022. - DagangNews.com