Cnergenz fokus tingkat kepakaran R&D untuk kembangkan segmen kilang pintar - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Cnergenz fokus tingkat kepakaran R&D untuk kembangkan segmen kilang pintar - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei -Pembekal penyelesaian pembuatan elektronik, pakar dalam teknologi pelekap permukaan (SMT) Cnergenz Berhad memperuntukkan RM6 juta untuk meningkatkan kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha mengembangkan segmen kilang pintarnya.

 

RHB Investment Bank Berhad berkata, permintaan untuk kilang pintar berkembang pesat berikutan peralihan pengeluar elektronik ke arah proses automasi penuh bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia.

 

"Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kumpulan itu telah memperuntukkan sejumlah 65% daripada dana yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang diperoleh atau RM37.8 juta untuk menubuhkan kilang baharu dengan keluasan 130,000 kaki persegi yang dijangka siap pada 2H23.

 

"Menerusi kilang baharu itu, kumpulan itu dapat menyediakan pelbagai perkhidmatan dan meneroka peluang yang lebih luas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sekarang ini memberi perkhidmatan kepada lebih 100 syarikat multinasional (MNC) terutamanya dalam kalangan pengeluar peranti bersepadu (IDM), penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) dan perkhidmatan oembuatan elektronik (EMS). 

 

Katanya, kebanyakan pelanggan mempunyai hubungan sejak sekian lama dengan kumpulan itu. 

 

Firma itu menetapkan nilai wajar (FV) RM0.70 dan ia mewakili permodalan pasaran dan asas keuntungan Cnergenz yang lebih kecil.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu tidak memiliki polisi pemberian dividen tetapi kami mengunjurkan dividen sesaham sebanyak 1.6 sen, 1.8 sen dan 2.1 sen untuk FY22F-24F," katanya. - DagangNews.com