KUALA LUMPUR 29 April - Cnergenz Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 24 Mei ini merancang untuk meraih dana sebanyak RM58 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).
Syarikat pembekal penyelesaian pembuatan elektronik yang berpangkalan di Pualau Pinang itu dalam satu kenyataan berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam 100 juta saham dan tawaran jualan 50 juta saham tawaran melalui penempatan persendirian pada harga IPO 58 sen sesaham.
Daripada 100 juta saham baharu itu, 25 juta saham akan disediakan untuk rakyat Malaysia, 10 juta saham akan diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sejumlah 52.75 juta saham akan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur khusus dan 12.25 juta saham akan dikhaskan untuk pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dana yang diraih menerusi terbitan IPO itu akan digunakan untuk pengembangan kemudahan operasi kumpulan, serta perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan modal kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Cnergenz, Lye Yhin Choy berkata, penyenaraian itu adalah selaras dengan strategi pertumbuhan syarikat untuk meningkatkan operasi, mengembangkan penyelesaian bersepadu serta penawaran penyelesaian kilang pintar, dan membangunkan rangkaian penyelesaiannya.
"Kami gembira dengan kejayaan pelancaran prospektus ini dan ia akan membawa kami selangkah lebih dekat untuk disenaraikan di Pasaran ACE," katanya.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk IPO itu.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian, David Lim berkata, pihaknya berbesar hati dengan minat yang ditunjukkan daripada pelabur institusi serta pelabur lain yang berminat untuk melanggan IPO itu.
Menerusi penawaran harga IPO 58 sen sesaham, Cnergenz akan meraih modal pasaran sejumlah RM288.4 juta lebih awal sebelum penampilan sulungnya. - DagangNews.com