Co-opbank Pertama tersenarai dalam Koperasi Premier Negara 2021 | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama tersenarai dalam Koperasi Premier Negara 2021

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Dis – Co-opbank Pertama (CBP) telah tersenarai di dalam Koperasi Premier Negara bagi tahun 2021 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

CBP sebelum ini telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Koperasi Terbaik negara di dalam Profil 100 Koperasi Negara 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, pengiktirafan untuk berada di dalam kelompok Koperasi Premier yang diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membuktikan kemampuan CBP untuk terus mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya dan seterusnya akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 anggota CBP.

 

“Sebagai co-opbank syariah terunggul di Malaysia dan kami akan terus komited bagi menjadikan CBP sebagai suatu jenama korporat yang diterima dan dikenali ramai.

 

“Pengiktirafan usaha ini penting bagi membuktikan CBP berada pada landasan yang tepat dalam memastikan ia dapat bergerak seiring dengan institusi kewangan yang lain.

 

‘’Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk MEDAC, SKM, Anggota Lembaga, Anggota CBP serta warga kerja CBP di atas kepercayaan serta usaha yang dicurahkan selama ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Khairil Anuar berkata, komitmen dari seluruh warga CBP turut menjadi faktor penyumbang kepada pencapaian ini.

 

“Umum mengetahui bahawa tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi hampir semua perniagaan. Walau bagaimanapun, CBP telah berjaya mendepani cabaran ini berdasarkan pencapaian prestasi kewangan tahun 2020 yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM85.1juta".


 

 Khairil Anuar Mohamad Anuar
                     Khairil Anuar Mohamad Anuar

 


Kata Khairil Anuar lagi, bagi menghadapi cabaran perniagaan bagi tahun-tahun seterusnya, CBP sedang merangka beberapa strategi perniagaan baharu yang dapat memelihara kelestarian prestasi CBP.

 

Co-opbank Pertama (CBP) telah ditubuhkan pada 7 Jun 1950. Pada September 2014, CBP telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah co-opbank.

 

CBP mempunyai 29 buah cawangan dan outlet Ar Rahnu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

 

CBP menawarkan pelbagai produk perbankan patuh Syariah termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cbp.com.my. – DagangNews.com