Co-opbank Pertama umum dividen 6.7%, berjumlah RM58.3 juta | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama umum dividen 6.7%, berjumlah RM58.3 juta

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan dividen sebanyak 6.7% bagi syer keutamaan iRCPS dan 6% bagi syer biasa untuk tahun kewangan 2020.

 

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, pembayaran dividen akan dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan Anggota CBP dan pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan CBP, secara atas talian melalui laman web CBP atau melalui aplikasi mobil MyCoopbank bermula 27 Ogos 2021.

 

Beliau berkata, pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2020 yang berjumlah lebih RM58 juta ini merupakan jumlah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950.

 

“Bagi tahun 2020, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM58.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 28.7% berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM45.3 juta.

 

‘’Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 92,459 anggota CBP yang layak. Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900 juta setakat 31 Disember 2020,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM85.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 15.9% dari tahun 2019 yang berjumlah RM73.9 juta.

 

Jumlah keanggotaan CBP juga telah meningkat dengan penambahan 1,039 anggota baharu dengan jumlah keseluruhan anggota pada tahun 2020 sebanyak 92,459.

 

 

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari
Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari

 

 

Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh Pengurusan CBP terutamanya semasa mendepani suasana pertumbuhan perniagaan yang agak perlahan dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Menurut CBP, kelewatan pengumuman dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 adalah disebabkan penukaran juruaudit yang dilantik yang memerlukan proses perlantikan dilaksanakan semula yang perlu mendapatkan kelulusan dari pengawalselia.

 

Co-opbank Pertama telah ditubuhkan pada 7 Jun 1950. Pada September 2014, CBP telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank.

 

CBP mempunyai 28 buah cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. CBP menawarkan pelbagai produk Pembiayaan Individu, Koperasi serta Korporat, Ar-Rahnu, Deposit, Syer Keanggotaan serta Takaful dan Wasiat. – DagangNews.com