Coca Cola, Aeon dan Hiroyuki Industries bekerjasama anjur kempen kitar semula | DagangNews Skip to main content

Coca Cola, Aeon dan Hiroyuki Industries bekerjasama anjur kempen kitar semula

(Dari kiri) Ketua Perhubungan Pelabur dan Kemampanan Aeon Malaysia, Tengku Adrinna, Nakata Hiroyuki dan Amruta Vaidya pada majlis pelancaran kempen kitar semula antara Coca Cola, Aeon dan Hiroyuki Industries
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis - Coca-Cola Malaysia bekerjasama dengan Aeon Malaysia, serta syarikat pemprosesan dan pembuatan produk plastik Hiroyuki Industries untuk menganjurkan kempen pengumpulan dan kitar semula botol polyethylene terephthalate (PET).

 

Kempen Hebat Kitar Semula ialah kempen kerjasama pertama antara ketiga-tiga syarikat, yang diharap memacu kesedaran dan tindakan orang ramai tentang kepentingan pengasingan plastik dan kitar semula.

 

Pengarah Operasi Francais Coca-Cola Malaysia, Amruta Vaidya berkata, pihaknya percaya bahawa penyelesaian kepada cabaran sisa plastik dunia boleh dibuka sebaik mungkin apabila pihak berkepentingan yang berfikiran sama bekerja secara kolaboratif. 

 

"Kami berbesar hati kerana syarikat seperti Aeon Malaysia dan Hiroyuki Industries berkongsi ideologi yang sama seperti kami, dan kami mengharapkan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Kewangan Aeon Malaysia, Dr Grace Lee berkata, pihaknya menyasarkan untuk berfikir secara global dan memajukan aktiviti secara tempatan sambil mempromosikan inisiatif melibatkan kedua-dua aspek alam sekitar dan kemasyarakatan dengan pihak berkepentingannya. 

 

"Piagam Kelestarian Aeon (ASC) membawa lima teras teras berfokuskan alam sekitar, pekerjaan bertanggungjawab, kecekapan dan integriti, ekonomi mampan dan pengalaman pelanggan, yang kami percaya untuk memacu pertumbuhan Aeon dalam dunia mampan," katanya.

 

Pengarah Urusan dan Pengasas Hiroyuki Industries, Nakata Hiroyuki pula berkata, kadar kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia adalah  paling rendah dalam kalangan negara ASEAN, yang mana hanya 16% botol PET berjaya dikumpulkan untuk dikitar semula. 

 

 

coke

 

 

Katanya, dianggarkan 21% botol PET bocor ke alam sekitar dan membahayakannya dalam proses, manakala baki 63% botol PET masuk ke tapak pelupusan. 

 

"Melalui Kempen Hebat Kitar Semula, kami cuba mendidik orang ramai bahawa plastik bukanlah satu pembaziran, dan ia membawa nilai yang besar jika ia dikumpul dan diproses dengan sewajarnya," katanya.

 

Kempen Hebat Kitar Semula akan berlangsung dari 10 Disember 2022 hingga 26 Februari 2023 di enam pusat beli-belah Aeon di negeri Johor. 

 

Pelanggan Aeon dan orang ramai digalakkan untuk mengumpul botol PET sebagai pertukaran mata Aeon serta produk Coca-Cola. - DagangNews.com