Contohi akhlak terpuji Nabi Muhammad seperti berkata benar, amanah | DagangNews Skip to main content

Contohi akhlak terpuji Nabi Muhammad seperti berkata benar, amanah

KUALA LUMPUR 19 Okt - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam membulat tekad untuk berubah ke arah kebaikan dengan mencontohi dan mengamalkan akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW.

 

Dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H, bekas Perdana Menteri itu berkata, akhlak terpuji baginda seperti ``berkata benar (Siddiq), amanah, sentiasa menyampaikan perintah dan larangan Allah (Tabligh) dan sentiasa cerdas (Fatonah) dalam berdakwah''.

 

Menurut beliau, sifat-sifat terpuji ini menjadi kunci kepada kejayaan baginda dalam menyebar dan mengembang Islam sehingga menjadi agama yang agung dan dihormati.

 

''Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Nabi Muhammad SAW, kami menadah tangan memohon agar wabak COVID-19 dilenyapkan daripada membelenggu Malaysia dan juga seluruh dunia,'' kata Muhyiddin dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

 

"Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti, semoga cinta dan kasih sayang kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW akan terus berkembang mekar dan subur dalam diri kita.

 

''Tunjukkan rasa cinta dan sayang kita dengan perbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW, satu daripada amalan yang sangat digalakkan dan dituntut Islam,'' kata Muhyiddin. - DagangNews.com