COO PLUS antara penerima Darjah kebesaran Melaka | DagangNews Skip to main content

COO PLUS antara penerima Darjah kebesaran Melaka

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Ketua Pegawai Operasi (COO) Projek Lebuhraya Usahasama Berhad dan PLUS Malaysia Berhad, Zakaria Ahmad Zabidi merupakan antara penerima pingat dan bintang sempena sambutan ulang tahun kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-72.

 

Zakaria yang memegang jawatan sebagai COO PLUS sejak 2017, mempunyai pengalaman dalam bidang profesional bersama PLUS lebih 28 tahun telah dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

 

Beliau juga berperanan menjayakan projek Pelebaran Lorong Ketiga PLUS sekitar tahun 2005 hingga 2008, yang mana projek itu meliputi Seremban-Ayer Keroh, Rawang–Slim River dan Ipoh-Jelapang.

 

Beliau ketika itu memegang jawatan sebagai pengarah projek.

 

Pengalaman di persada antarabangsa pula, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan UEM Group yang berpengkalan di Abu Dhabi dan Doha, Qatar pada tahun 2010 dan Ketua Pegawai Pegawai Eksekutif Uniquest Infra Ventures Ltd, Gurgaon Haryana, India dari 2012 hingga 2017. - DagangNews.com