Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 17 Nov. - Gabenor-gabenor bank pusat di Asia Timur dan Pasifik tidak menafikan bahawa impak COVID-19 ke atas ekonomi dan pasaran kewangan memberi cabaran besar buat penggubal dasar.
Disebabkan itu, dalam persekitaran yang luar biasa itu, Mesyuarat Eksekutif Bank-Bank Pusat Asia Timur dan Pasifik (EMEAP) memainkan peranan penting untuk mengenal pasti risiko serta kerentanan yang berlaku dan berpotensi selain perubahan struktur jangka panjang dalam ekonomi serantau.
“Mesyuarat ini juga bertukar pandangan mengenai kaedah yang perlu dilakukan oleh penggubal dasar perlu untuk menentukur langkah-langkah dasar dan menyokong ekonomi serantau dengan mempermudah penyusunan semula ekonomi penting menerusi dasar yang memperuntukkan sumber dengan cara cekap dan berkesan.
“Gabenor-gabenor juga berkongsi pengalaman perjalanan mereka ke arah pendigitilan lebih baik termasuk kaedah praktikal untuk meningkatkan keupayaan bagi memupuk teknologi dalam perbankan pusat yang moden,” kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu adalah berhubung Perjumpaan Gabenor-Gabenor EMEAP yang ke-25, berlangsung secara maya semalam.
Mesyuarat itu melibatkan 11 gabenor daripada ahli EMEAP serta wakil kanan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank for International Settlements (BIS).
EMEAP kali ini dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong, Eddie Yue.
Tambah BNM, ahli-ahli bank pusat EMEAP bekerjasama rapat sepanjang tekanan pasaran kewangan pada tahun ini.
“Gabenor-gabenor menekankan semula kepentingan EMEAP sebagai platform yang berkesan untuk dialog dasar berterusan, memperkukuh kerjasama serantau dan menyediakan perspektif serantau dalam memberi maklumat serta memudahkan perbincangan di forum global ketika tempoh mencabar ini.
“EMEAP akan terus memainkan peranan aktif dalam mempromosi kerjasama serantau antara institusi perbankan pusat dalam memastikan kestabilan kewangan dan sokongan pemulihan ekonomi,” jelas BNM.
Dalam masa sama, gabenor-gabenor turut mengalu-alukan Jawatankuasa Kestabilan Monetari dan Kewangan (MFSC) ke dalam pengawasan pasaran dan aktiviti penyelidikan termasuk inisiatif dalam data raya (big data) dan kemampanan kewangan.
Ahli EMEAP turut menyambut baik tawaran Bank Rizab Australia untuk menjadi tuan rumah Perjumpaan Gabenor-Gabenor EMEAP pada tahun hadapan. - DagangNews.com