COVID-19 beri 'tempias' minimum buat Superlon | DagangNews Skip to main content

COVID-19 beri 'tempias' minimum buat Superlon

 Superlon Holdings Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia dilihat tidak menghalang syarikat penyedia bahan binaan, Superlon Holdings Berhad untuk mengekalkan prestasi yang baik sepanjang tempoh wabak COVID-19.

 

MIDF Research berkata, syarikat berkenaan berjaya mengekalkan neraca yang baik meskipun berdepan sekatan perjalanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pandemik COVID-19.

 

"Ke hadapan, kami meramalkan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik daripada Superlon didorong oleh kos bahan mentah yang rendah, operasi kilang di Vietnam yang lebih baik, pemulihan ekonomi Malaysia dan kelonggaran sekatan perjalanan.

 

"Jangkaan pendapatan untuk tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing diubah kepada RM10.84 juta dan RM13.22 juta disebabkan hasil yang lebih baik daripada jangkaan, kos bahan lebih rendah, kos tenaga kerja pengeluaran yang lebih rendah serta penjualan paip tembaga yang lebih tinggi," jelas MIDF Research.

 

Superlon mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM2.35 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 yang turut melebihi jangkaan MIDF.

 

Jumlah tersebut menurun 13.3% berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh penurunan sumbangan daripada segmen pembuatan.

 

Segmen pembuatan kumpulan tersebut mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak -23.3% pada suku kedua 2021 berbanding tahun sebelumnya kepada RM18.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2020.

 

Prestasi eksport syarikat berkenaan turut rendah didorong oleh kelewatan permintaan pasaran utama dan masalah logistik yang berpuca daripada sekatan perjalanan akibat wabak.

 

MIDF Research membuat penarafan 'neutral' terhadap saham Superlon dengan harga sasaran sesaham (TP) yang disemak semula bernilai RM1.03 berbanding RM0.77 pada sebelumnya.

 

"Kami memperoleh harga sasaran kami dengan menaikkan PER 12.4x kepada FY22EPS (jangkaan perolahan sesaham) yang disemak semula sebanyak 8.32sen sesaham," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com