BEIJING 23 Okt. - Permintaan tinggi terhadap ekonomi baharu seperti e-dagang ketika banyak sektor ekonomi terjejas akibat pandemik COVID-19 memberi rahmat kepada golongan kaya di China.
Kekayaan golongan kaya di China dilaporkan mencecah sehingga AS$1.5 trilion (RM6.2 trilion) tahun ini berbanding lima tahun lalu dengan pengasas Alibaba kekal di tangga teratas.
Laporan Hurun bagi Senarai Orang Kaya 2020 yang dikeluarkan Selasa lalu menunjukkan kekayaan Jack Ma itu melonjak 45% kepada AS$58.8 bilion (RM244.28 bilion) apabila permintaan terhadap perkhidmatan e-dagang meningkat ekoran sekatan pergerakan bagi mengekang pandemik COVID-19.
Memetik AFP, laporan itu mendapati 257 individu muncul bilionair baharu pada Ogos lalu menjadikan kesemuanya berjumlah 878 individu di negara kedua ekonomi terbesar itu.
Amerika Syarikat (AS) pula mempunyai 626 individu kaya dalam kelompok teratas berdasarkan laporan global Hurun pada Februari lalu.
Berdasarkan laporan berkenaan, terdapat 2,000 individu dengan nilai bersih lebih daripada 2 bilion yuan (RM1.24 bilion) pada Ogos lalu, menjadikan nilai bersih terkumpul sebanyak AS$4 trilion (RM16.62 trilion).
Selain Jack Ma, pemilik Tencent, gergasi permainan dan WeChat, Pony Ma, mempunyai kekayaan bernilai AS$57.4 bilion (RM238.47 bilion) di sebalik kebimbangan AS terhadap syarikatnya yang didakwa mengancam keselamatan negara.
Kali pertama berada dalam tersebut, Zhong Shanshan yang terkenal dengan jenama minuman air botolnya, Nongfu terus melonjak ke tangga ketiga dengan nilai kekayaan AS$53.7 bilion (RM223.10 bilion) selepas melakukan tawaran awam permulaan (IPO) di Hong Kong, September lalu.
Ketua Penyelidik Laporan Hurun, Rupert Hoogewerf menyifatkan nilai kekayaan yang berlaku dalam tahun ini tidak pernah terjadi sebelum ini.
"Tahun ini menyaksikan China semakin bergerak daripada sektor tradisional seperti pembuatan dan hartanah kepada ekonomi baharu," katanya.
Disebabkan pandemik COVID-19, China menutup dua bandar utamanya pada Januari dan Februari yang menyaksikan pertumbuhan ekonominya menguncup pada suku pertama.
Bagaimanapun, apabila jangkitan wabak itu dapat dikawal, negara itu kini dijangka muncul satu-satunya ekonomi utama yang akan mencatat pertumbuhan tahun ini, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa. - DagangNews.com