KUALA LUMPUR 24 Jan - Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat berkaitan pengurusan jangkitan COVID-19 di institusi pendidikan yang di bawah kementariannya.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau bersama pengurusan tertinggi dan pegawai KPM bermesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara penting berkaitan pengurusan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM yang memerlukan perhatian segera.
"KPM sentiasa berusaha mendapatkan pendekatan terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan warga sekolah, khususnya pelajar di sekolah berasrama.
"Selain itu, turut dibincangkan penyelarasan kebenaran pulang ke rumah bagi pelajar di institusi pendidikan bawah KPM sempena cuti Tahun Baharu Cina pada awal Februari nanti. Pemakluman berhubung perkara ini disampaikan melalui institusi masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr. Radzi memohon kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa, pelajar dan guru untuk sama-sama membantu serta menyokong usaha KPM memastikan pelajar dapat terus mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat.
"Doakan usaha kami di KPM dipermudah dan setiap perancangan dapat dijayakan dengan sebaiknya demi kelangsungan pendidikan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik," katanya. - DagangNews.com