COVID-19 ‘menular’ ke hujung dunia, di benua Antartika | DagangNews Skip to main content

COVID-19 ‘menular’ ke hujung dunia, di benua Antartika

 

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Benua terakhir di dunia, Antartika yang sebelum ini bebas daripada penularan COVID-19 kini mencatatkan kes jangkitan pandemik berkenaan. 

 

Perkara itu disahkan oleh ketenteraan Chile pada minggu ini ketika pegawai kesihatan dan tentera bergegas membersihkan dan mengkuarantin staf daripada stesen penyelidikan terpencil yang dikelilingi oleh lautan dan gunung ais.

 

Menurut Reuters, angkatan tentera Chile mendedahkan sekurang-kurangnya 36 individu telah dijangkiti COVID-19 di pangkalan tentera Bernardo O’Higgins, terdiri daripada 26 anggota tentera dan 10 rakyat biasa yang menjalankan tugas-tugas menyelenggara di pangkalan tersebut. 

 

Stesen penyelidikan yang dikendalikan secara tetap oleh tentera Chile, terletak berhampiran hujung semenanjung di Antartika utara, mengadap teluk yang dikelilingi gunung ais.

 

Pangkalan tentera itu pada awalnya terasing dan sering dipantau oleh pihak berkuasa kesihatan di Magallanes.

 

Stesen penyelidikan dan ketenteraan di Antartika, kawasan yang paling terpencil di dunia mengambil langkah ketat selama beberapa bulan untuk mengelak daripada jangkitan COVID-19 termasuk membatalkan pelancongan, mengurangkan aktiviti dan staf serta menutup kemudahan yang ada.

 

Penyelidik dan Kajian Antartika Britain menganggarkan kira-kira 1,000 orang di 38 stesen di seluruh benua itu selamat melayari musim sejuk tanpa sebarang kes jangkitan. 

 

Namun, peningkatan perjalanan memasuki dan dari rantau itu pada musim bunga dan awal musim panas telah meningkatkan risiko jangkitan.

 

Pegawai media tentera Chile berkata, kes-kes jangkitan COVID-19 telah dilaporkan sejak pertengahan Disember apabila terdapat dua anggota tentera jatuh sakit.

 

Dalam pada itu, angkatan tentera laut Chile juga mengesan terdapat tiga kes COVID-19 dalam kalangan 208 ahli kru kapal yang belayar di benua Antartika antara 27 November hingga 10 Disember. - DagangNews.com