COVID-19 : PDB ambil langkah berhati-hati | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : PDB ambil langkah berhati-hati

Md. Arif Mahmood (tengah) bersama Azrul Osman Rani (kiri) dan Farzlina Ahmad Murad menunjukkan Laporan Tahunan PDB 2020 dalam sidang akhbar secara maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-39 hari ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 April -  Petronas Dagangan Bhd. (PDB) mengambil langkah berhati-hati terhadap prospek segmen peruncitannya berikutan situasi semasa COVID-19 yang mencatat peningkatan kes ketara. 

 

Pengerusi PDB, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, pada mulanya, kumpulan menyaksikan aktiviti ekonomi kembali berjalan sekitar Mac tetapi sekatan rentas negeri masih dikekalkan.

 

Situasi ketika ini, katanya, sukar untuk dijangkakan oleh kumpulan kerana bergantung kepada sejauh mana langkah yang diambil bagi mengekang penularan wabak tersebut.  

 

"Tetapi, kami berharap, dengan pelancaran vaksin COVID-19 dan perintah sekatan pergerakan (PKP) dilonggarkan akan meningkatkan semula perjalanan. 

 

"Maka, ini akan menyaksikan ekonomi boleh kembali pulih pada separuh kedua tahun ini," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-39 PDB hari ini yang diadakan secara maya. 

 

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani dan Ketua Pegawai Kewangannya, Farzlina Ahmad Murad.

 

Menurut Md. Arif, kumpulan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi mengembangkan segmen peruncitannya tanpa memberi tumpuan sepenuhnya kepada stesen minyak. 

 

"Kami mahu mereka bukan sahaja mengisi minyak di stesen Petronas tetapi juga menggunakan kemudahan yang lain, antaranya, pengalaman membeli-belah, minyak pelincir dan jualan barang dagangan yang boleh membantu menyumbang kepada perolehan kumpulan," jelas beliau. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, PDB, yang merupakan cabang pemasaran Petronas memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM500 juta. 

 

Capex itu akan digunakan bagi perbelanjaan memperbaharui beberapa stesen minyak, membeli tapak strategik baharu dan mengukuhkan perniagaan bukan bahan api termasuk Kedai Mesra dan perkhidmatan penyelesaian makanan.

 

Ketika ini terdapat lebih 1,000 stesen minyak Petronas dan 800 Kedai Mesra di seluruh negara dan syarikat itu berhasrat untuk menambah 1% atau 5 hingga 10 stesen setiap tahun bagi memperoleh bahagian pasaran dan memiliki rangkaian terbesar di Malaysia.

 

Md.Arif berkata, PDB kini menyasarkan perolehan bagi perniagaan bukan bahan api menyumbang 30% kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menjelang 2025. 

 

Dalam pada itu, menurut Azrul, PDB dapat menyesuaikan diri dengan pantas seiring perubahan pasaran tahun lalu bagi memastikan perniagaan kekal menguntungan. 

 

"Di sebalik ketidaktentuan akibat krisis COVID-19, kami mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran, yang mencerminkan daya tahan kumpulan," katanya. 

 

Bagi segmen komersial, katanya, sebahagian besar perolehan pada 2019 disumbangkan menerusi industri penerbangan. 

 

"Tetapi, pada tahun lalu, apa yang kita lihat, industri ini masih belum pulih setelah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

"Malah, permintaan bagi bahan api pesawat juga menyusut sehingga 65%," katanya. 

 

Beliau bagaimanapun, optimis segmen komersial akan kembali pulih dengan penguasaan pasaran masih kukuh dan PDB kekal mendominasi pasaran.

 

"Tetapi, ia bergantung kepada sejauh mana pemulihan pertumbuhan ekonomi," jelas beliau. - DagangNews.com