KUALA LUMPUR 16 Nov. - Dasar pengeluaran beras tempatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diubah kepada kadar peratusan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 75% berbanding 70% pada sebelumnya.
Perubahan tersebut dilakukan susulan penutupan sempadan negara yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, tindakan itu juga membantu kerajaan dalam mengurangkan jumlah kebergantungan kepada beras import.
"Sebelum ini, kita selesa dengan dasar 70% (beras tempatan) dan 30% (import) dan ini akan dinilai semula bagi mencapai 75% untuk tahun yang akan datang.
"Kita perlu merancakkan pengeluaran padi berskala besar," jelasnya seperti dilapor BERNAMA.
Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, peruntukan berjumlah RM4.79 bilion diumumkan untuk kementerian berkenaan bagi menguruskan sektor agromakanan negara.
Insentif dan bantuan yang akan disediakan itu turut bertujuan untuk meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras selain meringankan beban golongan petani dan nelayan dalam tempoh mencabar ini.
Tambah beliau lagi, beberapa langkah juga telah dikenal pasti untuk mencapai sasaran baharu itu.
Antara langkahnya ialah memperluas kawasan jelapang padi, penggunaan baja yang bersesuaian dan penambaikan sistem pengaliran bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
“Pengeluaran beras padi berbeza di antara kawasan, disebabkan kesuburan tanah yang berbeza antara kawasan utara, selatan, di Selangor, Perak dan sebagainya.
"Kita sudah sediakan sebahagian dana untuk profil tanah. Lebih banyak taburan dan baja yang teratur dapat dibuat.
“Kita harapkan penglibatan pihak swasta untuk menceburkan diri dalam penanaman padi skala besar. Ini diharapkan dapat tingkatkan pengeluaran beras negara dan kurangkan kebergantungan terhadap beras import,” katanya lagi. - DagangNews.com