CPE Technology sasar jana RM179.58 juta daripada IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

CPE Technology sasar jana RM179.58 juta daripada IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - CPE Technology Berhad menyasarkan untuk menjana RM179.58 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia menerusi terbitan 167.83 juta saham baharu berdasarkan harga RM1.07 sesaham.

 

Berdasarkan prospektus yang diterbitkan di Bursa Malaysia, penilaian itu memberikan pengilang bahagian kejuruteraan ketepatan itu permodalan pasaran sebanyak RM718.31 juta apabila disenaraikan pada 7 Disember ini berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 671.31 juta saham.

 

Sejumlah 33.6 juta saham adalah untuk langganan orang ramai Malaysia, 83.9 juta saham untuk pelabur awam Bumiputera, dan 50.3 juta untuk pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

IPO itu juga akan menyaksikan tawaran penjualan 67.13 juta saham atau 10% kepentingan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Sejumlah RM69.6 juta atau 38.76% diperuntukkan untuk pembelian tanah perindustrian baharu dan pembinaan kilang baharu manakala RM32.9 juta atau 18.31% bagi perbelanjaan mesin dan peralatan.

 

Daripada jumlah keseluruhan, sejumlah RM17.5 juta atau 9.72% digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM46.9 juta atau 26.12% bagi perbelanjaan modal kerja sementara RM1.4 juta atau 0.79% bagi membiayai perbelanjaan modal lain dan baki RM11.3 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CPE Technology, Lee Chen Yeong berkata, sebahagian besar daripada hasil akan disalurkan kepada pembinaan kilang dan pembelian mesin dan peralatan baharu bagi memboleh mereka mengoptimumkan pengeluaran untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

 

Katanya, sebahagian daripada hasil juga akan digunakan bagi pembelian bahan mentah seperti keluli tahan karat dan aluminium yang kebanyakannya diperoleh daripada pembekal luar negara.

 

"Stok bahan mentah ini akan membantu kami mengekalkan bekalan yang mencukupi dan pada masa yang sama mengurangkan kos penghantaran yang meningkat akibat turun naik harga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga 30 Jun 2023, CPE Technology memegang 1.55% bahagian industri sokongan kejuruteraan (ESI) bersamaan dengan hasil yang dijana sebanyak RM145.35 juta, daripada jumlah saiz ESI di Malaysia sebanyak RM9.37 bilion pada 2022. - DagangNews.com