CPO meningkat hingga RM3,300 jika La Niña berlanjutan | DagangNews Skip to main content

CPO meningkat hingga RM3,300 jika La Niña berlanjutan

Sawit

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka meningkat hingga RM3,300 per tan sekiranya fenomena hujan lebat La Niña berlanjutan hingga separuh pertama 2021.

Pengarah Gangling Sdn. Bhd., Ling Ah Hong berkata,  prospek harga untuk tahun 2021 akan bergantung kepada perkembangan fenomena berkenaan yang memberi kesan kepada prestasi minyak kacang soya di Amerika Selatan.

"Jika terdapat kesan sederhana diterima daripada fenomena La Niña dan pengeluaran minyak sawit lemah pada separuh pertama 2021, CPO rata-rata untuk akhir 2020, separuh pertama 2021 dan separuh kedua 2021 akan berada pada tahap RM2,800, RM3,100 dan RM2,200 setiap tan.

"Sekiranya kesan La Niña lebih kuat, ia akan memberi kesan lebih parah terhadap pengeluaran kacang soya termasuk bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed daripada wilayah Black Sea yang akan meningkatkan harga minyak sayuran yang lebih tinggi pada separuh pertama 2021.

"Dalam senario ini, harga CPO dijangka meningkat kepada RM2,800, RM3,300 dan RM2,200 per tan untuk tempoh akhir tahun 2020, separuh pertama 2021 dan separuh kedua 2021, katanya dalam pertemuan maya bersama penganalisis UOB seperti dilapor The Edge.

Dalam pertemuan yang sama, Ling memberitahu, senario kedua yang lebih memberi kesan itu dilihat tidak mungkin akan terjadi.

Jelasnya, penanaman kacang soya di Brazil dan Argentina ditangguhkan susulan keadaan cuaca kemarau.

Sekiranya penanaman tersebut akan terus dilanjutkan, ia mampu mempengaruhi hasil kacang soya pada musim-musim akan datang sekali gus mengheret penganalisis untuk membuat semakan semula terhadap ramalan pengeluaran kacang soya.

Ling turut memberi harapan agar bekalan minyak sawit terus pulih sebanyak 3.2 juta tan menjelang tahun 2021.

Daripada jumlah itu, Malaysia mampu untuk menyumbang kira-kira 300,000 tan dan Indonesia boleh menyediakan sebanyak 2.9 juta tan.

Fenomena hujan lebat dan banjir La Niña menyebabkan gangguan terhadap penuaian dan operasi logistik sekali gus mengurangkan hasil Tandan Buah Segar (TBS). - DagangNews.com